My Add

Thursday 11 October 2012

Masih relevan tapi perlu selektif - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Oktober, 2012: Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan pada 1982 masih lagi relevan dan wajar diteruskan di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun rakyat Malaysia perlu lebih selektif dan bijak memilih nilai yang terbaik dari negara matahari terbit itu.

"Dasar Pandang ke Timur masih lagi boleh diteruskan tetapi kali ini kita perlu lebih selektif dan bijak memilih untuk mendapatkan sesuatu nilai yang terbaik.

"Kita masih boleh mengadaptasi perkara yang baik-baik dari Jepun dan yang paling penting bersesuaian dengan budaya dan nilai di Malaysia," katanya ketika berucap di hadapan delegasi dari Jepun sempena Makan Malam Persidangan Dasar Pandang ke Timur - Satu Dimensi Baharu.

Majlis tersebut turut dihadiri isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurut Dr. Mahathir, selain bijak memilih nilai yang baik, rakyat Malaysia juga perlu lebih selektif dalam soal etika kerja dan inovasi.

"Kita patut berbangga dengan Jepun kerana mereka telah 'meniru' sesuatu produk sebelum menginovasikan semula produk tersebut hingga menjadi yang lebih baik daripada produk asal.

"Selain itu, etika kerja yang diamalkan di Jepun juga masih lagi boleh diguna pakai tetapi perlu dinilai. Mana yang baik boleh diteruskan dan mana yang tidak baik jangan diikut," katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, salah satu cara lain untuk rakyat negara ini mempelajari budaya dan etika negara matahari terbit itu adalah dengan membina universiti Jepun di Malaysia.

Katanya, universiti tersebut akan memberi kemudahan untuk rakyat Malaysia mempelajari budaya mereka selain memberi peluang golongan kurang berkemampuan untuk mendalami budaya pandang ke timur tersebut.

"Pembinaan universiti ini bakal memberi keuntungan kepada Malaysia dan Jepun," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment