My Add

Friday 5 October 2012

Mahkamah benarkan prosiding kebolehpercayaan keterangan Abdul Kadir

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Oktober, 2012: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding kebolehpercayaan keterangan terhadap bekas Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam perbicaraan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik.

Permohonan itu dibenarkan setelah mendapati wujudnya percanggahan material di dalam keterangan yang beliau berikan di mahkamah berbanding rakaman percakapan yang dibuat kepada polis dalam kes itu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersetuju dengan permohonan Timbalan Peguam Cara Negara II Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengikut Seksyen 155 Akta Keterangan 1950, di mana ketika rakaman percakapan dilakukan pegawai penyiasat Supt R. Rajagopal pada 6 Julai tahun lalu di bawah Seksyen 112 akta itu, berlaku percanggahan dengan keterangan saksi pembelaan ketiga itu, di mahkamah semalam dan hari ini.

Tun Majid memberitahu mahkamah bahawa Abdul Kadir ketika rakaman dibuat, bersetuju bahawa harga muktamad untuk pembelian tanah seluas 1,000 ekar untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah RM1.08 billion, berbanding dengan keterangan lisan beliau di mahkamah bahawa ia perlu disertakan dengan pembayaran faedah sebanyak 7.5 peratus menjadikan keseluruhan RM1.88 bilion.

Menurutnya, Abdul Kadir juga dalam rakaman percakapannya, sekiranya wujud sebarang perubahan pada harga pembelian ia perlu dirujuk semula ke kabinet untuk keputusan tetapi di mahkamah beliau telah memberi keterangan ia tidak semestinya dan keputusan boleh dibuat oleh pegawai di Kementerian Kewangan ataupun kementerian berkenaan.

Ahmadi menetapkan Isnin depan untuk membolehkan kedua-dua pihak membuat hujahan masing-masing mengenai isu sama ada pihak pendakwaan perlu memberikan keseluruhan kenyataan rakaman percakapan Abdul Kadir ataupun hanya bahagian yang didakwa berlaku percanggahan di pihak saksi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment