My Add

Friday 5 October 2012

Suami isteri dituduh sebabkan cedera parah, eksploitasi pembantu rumah

JOHOR BAHARU, JUMAAT, 05 Oktober, 2012: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan memperdagang pembantu rumah mereka, antara Julai dan September lepas.

Mohd. Shukur Suradi, 28, dan isterinya Daeng Norulasyikin Bachok, 27, didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 21, yang memiliki pasport bernombor A 1889641 dengan menggunakan pisau, kayu golf, penyangkut baju, tali pinggang, air panas, minyak panas, senduk panas serta sudu panas.

Mohd. Shukur yang merupakan penjual kereta manakala Daeng Norulasyikin, guru di sebuah sekolah rendah didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D Utama, Perling, di sini, antara Julai dan 23 Sept lepas.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kesalahan memperdagang Marsini bagi maksud eksploitasi dengan cara memaksa bekerja sebagai pembantu rumah itu pula didakwa dilakukan pada kira-kira pukul 12 tengah hari, di alamat yang sama, 23 Sept lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment