My Add

Thursday 11 October 2012

Mahkamah keluar waran pemenjaraan terhadap Datuk Paiman

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Oktoberr, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan waran pemenjaraan terhadap ahli perniagaan, Datuk Paiman Shakimon selepas beliau gagal hadir untuk perbicaraan rayuannya atas sabitan dan hukuman dalam kes menipu dan memalsukan dokumen.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah turut melucutkan hak penjamin Paiman, Dr Norma Ahmad ke atas wang jaminan berjumlah RM700,000 selepas perayu gagal hadir di mahkamah sejak disabitkan hukuman penjara 26 tahun pada tahun lepas.

Dalam kes rayuan, Dr Norma, yang merupakan saudara kepada Paiman, juga gagal hadir pada prosiding hari ini. "Walaupun mahkamah pada 21 Sept lepas telah memberi peluang terakhir kepada penjamin untuk membawa perayu ke mahkamah tetapi dia (penjamin) masih tidak membawanya malahan penjamin juga tidak datang.

"Memandangkan beliau (Paiman) bersalah kerana tidak hadir ke mahkamah, mahkamah turut melucutkan hak jaminannya iaitu berjumlah RM700,000," kata hakim itu.

Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir, memohon rayuan perayu dibatalkan dan waran pemenjaraan dikeluarkan.

"Peguam Gobind Singh Deo, yang telah menarik diri daripada mewakili Paiman pernah memberitahu pihak pendakwaan bahawa perayu pernah mengarahkannya untuk memfailkan petisyen rayuan. Ini bermakna perayu sudah sedia maklum kes ini sedang berjalan," kata Syed Faisal. 

Paiman, 53, dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment