My Add

Wednesday 10 October 2012

Malaysia bebas pengangguran

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Oktober, 2012: Kadar pengangguran di negara ini hanya berjumlah tiga peratus, sekali gus menunjukkan Malaysia boleh dianggap bebas daripada masalah tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, data itu membuktikan kerajaan berjaya menguruskan ekonomi dengan baik melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan tarikan pelaburan langsung asing.

"Kalau mengikut definisi ekonomi dunia, kadar pengangguran tiga peratus itu dikategori sebagai tiada masalah. Malah, dalam Misery Index, kadar pengangguran Malaysia berada pada kedudukan yang sangat bawah.

"Kita perlu bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang berupaya dan mampu menguruskan ekonomi sehingga tiada masalah pengangguran, jauh lebih baik berbanding Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang kadar penganggurannya mencecah 25 peratus," katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Program Skim Latihan 1Malaysia-Industri Bekalan Elektrik (SL1M-IBE) di sini hari ini, beliau berkata, sebanyak 80 graduan universiti berjaya mendapatkan pekerjaan setelah menamatkan pengajian dan hanya 20 peratus yang menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Pada majlis itu, seramai 131 graduan diraikan kerana terpilih mengikuti SL1M dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Turut hadir ialah Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Azman Mohd.

Menurut Nor Mohamed, bagaimanapun graduan yang belum mendapat pekerjaan itu diberi peluang oleh kerajaan menerusi syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menjalani SL1M berdasarkan kemahiran dan pengetahuan masing-masing.

Katanya, mereka yang mengikuti SL1M akan diberi latihan pembentukan personaliti, kemahiran komunikasi dan teknikal selama setahun dengan mendapat insentif bulanan.

Jelasnya, pendekatan latihan itu dilaksanakan bagi memastikan semua graduan mendapat pekerjaan supaya boleh menyumbang semula kepada ekonomi negara.

"Kalau banyak graduan yang menganggur, bukan sahaja pelajar atau ibu bapa yang rugi tetapi kerajaan juga rugi besar kerana pelaburan dalam pendidikan telah dilakukan dari peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.

"Kerajaan dan negara akan rugi jika pelaburan yang dibuat tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana semula ekonomi," ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment