My Add

Monday 15 October 2012

Malaysia lepasi sasaran penunjuk KPI ETP

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012:: Malaysia telah melepasi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) keseluruhan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, hari ini.

Keseluruhannya, berdasarkan agregat, Malaysia mencapai 69 peratus daripada sasaran dari Januari hingga Ogos tahun ni, katanya. 

"Kita berpuas hati dengan angka ini setakat ini. Pelabur-pelabur adalah faktor pemacu utama," kata Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan.

Idris berkata demikian pada satu taklimat media selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "ETP - Cara untuk Maju Ke Hadapan dan Peluang-Peluang daripada Minyak Sawit" pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS) di sini hari ini.

Beliau berkata, pelaburan swasta dan awam masing-masing berkembang sebanyak 28 peratus dan 24 peratus dalam tempoh berkenaan.

"Kita sentiasa percaya pelabur merupakan penunjuk utama bagi ekonomi. Jika kita ada pelaburan, kita ada projek yang akan menghasilkan lebih banyak pendapatan, perolehan dan pekerjaan bagi negara," katanya.

Idris berkata pengguna domestik adalah sektor penting keluaran dalam negara kasar (KDNK). 

"Penggunaan domestik menyumbang kira-kira 69 peratus kepada KDNK negara dan ia mencapai pertubuhan sebanyak lapan peratus dari Januari hingga Ogos tahun ini," katanya.

Beliau berkata pelaburan adalah satu lagi sektor penting, dengan sumbangan sebanyak 20 hingga 22 peratus kepada KDNK.

Kerajaan perlu terus fokus dan berusaha ke arah menepati sasaran untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment