My Add

Monday 15 October 2012

Malaysia-Perancis jalin kerjsama tangani kempen anti minyak sawit

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Malaysia dan Perancis akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi menangani isu negatif terhadap minyak sawit yang dibangkitkan oleh beberapa pihak di Paris, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata Menteri Pertanian Perancis, Stéphane Le Foll membentangkan cadangan itu semasa lawatan rasminya ke Perancis bulan lalu. 

Beliau berkata pada masa ini, kedua-dua kerajaan masih menunggu para pegawai yang berkaitan untuk membentuk pasukan petugas kerja bersama itu.

"Malaysia menyambut langkah Paris dalam menangani isu itu. Kami mahu menanganinya," katanya ketika ditemui pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS) 2012 di sini hari ini.

Beberapa pihak di Perancis melancarkan kempen menentang minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, dengan mendakwa minyak sawit tidak sihat untuk pengguna dan pengeluarannya menjejaskan alam sekitar.

Dompok berkata Malaysia sentiasa berwaspada dalam menangani tindakan yang dilakukan oleh peruncit, yang sanggup melabel produk makanan sebagai bukan kelapa sawit.

"Tindakan ini tidak adil kepada Malaysia dan industri minyak sawit memandangkan segala dakwaan terhadap minyak sawit tidak pernah terbukti. 

"Kami juga sedang mengkaji tindakan jika perkara itu tidak diselesaikan, termasuk membangkitkannya dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia," katanya.

Beliau berkata Malaysia kini lebih kepada mendidik berbanding mengambil langkah drastik.

"Kami mahu mendidik mereka bahawa industri minyak sawit Malaysia sentiasa mengutamakan rakyat, bumi dan untung," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia, Datuk Lee Yeow Chor, berkata majlis itu akan menganjurkan kempen publisiti bagi menangani khabar angin.

"Majlis akan melancarkan kempen dalam akhbar utama Perancis dan menganjurkan pertandingan kuiz membabitkan industri minyak sawit Malaysia.

"Pemenang akan dibawa ke Malaysia untuk melihat sendiri kualiti dan kelestarian minyak sawit Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment