My Add

Friday 12 October 2012

Malaysia mampu jadi model
 *NAJIB Tun Razak bersama Duta Perancis, Martine Dorance (kiri) melihat model syarikat Alstom semasa merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Ke-3 di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Malaysia mampu menjadi ikutan serta model terbaik kepada dunia jika berjaya menyeimbangkan antara matlamat mengejar pembangunan dan kelestarian alam sekitar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk itu negara perlu bergerak melaksanakan perubahan dan bertindak mendepani masalah berkaitan perubahan iklim membabitkan penyumbang utama kepada permasalahan itu seperti sektor tenaga, pengangkutan serta industri.

Namun menurut beliau, kerajaan juga perlu memainkan peranan lebih efisien dengan menetapkan arah tuju yang jelas selain menggalakkan pertumbuhan industri berteraskan teknologi hijau.

''Perdebatan berhubung iklim menjadi fokus utama Asia. Kita telah berdepan dengan pelbagai kesan buruk khususnya bencana alam. Perubahan iklim membuatkan ramai orang di rantau Asia dan Pasifik berdepan dengan risiko. Tetapi kita juga menjadi antara penyumbang kepada punca tersebut. Malaysia juga tak terkecuali mengalami perubahan iklim itu.

''Lapan tahun mendatang ini adalah saat paling kritikal buat negara. Di sebalik sasaran pembangunan ekonomi dan pengeluaran karbon, kita perlu mencari kaedah bagaimana jurang pembangunan dan iklim dapat diseimbangkan. Jika itu mampu dilakukan, Malaysia mampu menjadi model serta menyumbang kepada sesuatu yang signifikan kepada krisis global itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Ke-3 bertemakan 'Teknologi Hijau Untuk Pembangunan' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta timbalannya, Datuk Noriah Kasnon.

Najib berkata, untuk itu Malaysia kini menetapkan sasaran menjana 5.5 peratus daripada kapasiti tenaga keseluruhannya daripada sumber-sumber diperbaharui menjelang 2015 dan 11 peratus pada 2020.

''Dianggarkan tenaga diperbaharui akan menjana aktiviti ekonomi bernilai RM70 bilion pada 2020 dan menampung 50,000 peluang pekerjaan. Hal yang demikian mampu mengurangkan pengeluaran 42.2 juta tan karbon iaitu pengurangan kira-kira 40 peratus. Bersama-sama dengan usaha menjana tenaga bersih itu, Malaysia perlu berusaha lebih untuk memuliharanya.

''Ini kerana kecekapan tenaga boleh membantu Malaysia menjimatkan RM14 bilion dalam pendapatan negara kasar (GNI) menjelang 2020. Oleh sebab itu kita sedang membangunkan Syarikat Perkhidmatan Tenaga untuk membantu pengguna mendapatkan penjimatan, menggalakkan peralatan tenaga yang efisien di rumah dan perniagaan serta menyokong memacu kecekapan dengan insentif cukai," ujarnya, " katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment