My Add

Saturday 27 October 2012

Mayat pekerja kimpalan lemas ditemui

KUALA TERENGGANU, SABTU, 27 Oktober, 2012: Mayat seorang pekerja kimpalan yang lemas petang semalam ditemui terdampar berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Chendering dekat sini petang tadi.

Mayat Tuan Syed Ahmad Saufi Tuan Mohamad, 26, ditemui kira-kira pukul 1.50 petang, lima kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa dikatakan dihanyutkan ombak ketika mandi-manda bersama empat lagi adik-beradiknya di Pantai Chendering kira-kira pukul 6 petang.

Menurut sepupu mangsa, Mohamad Ramli, 30, mangsa memang telah lama berhajat untuk mandi di pantai tersebut bagi meraikan Aidiladha.

Katanya, ketika itu dia berada di rumah dan terus bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Mangsa merupakan anak keenam daripada 11 orang adik-beradik.

"Semasa mereka sedang mandi, tiba-tiba datang ombak kuat dan mangsa seakan-akan ditarik ke tengah laut.

"Salah seorang daripada mereka cuba menyelamatkannya namun gagal dan dia nyaris turut lemas,” kata Mohamad di tempat kejadian.

Sementaraa itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Radzilah berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula sejak pukul 6.40 petang semalam dengan disertai oleh tujuh anggota dari balai Kuala Terengganu.

Katanya, operasi itu diteruskan pada sebelah malam namun terpaksa dihentikan berikutan cuaca yang agak gelap dengan keadaan ombak yang agak kuat.

"Operasi disambung semula pagi ini dengan jumlah anggota yang lebih ramai iaitu sebanyak 20 orang dengan turut menggunakan dua buah bot dan dua buah jet ski.

"Selain itu kita juga menerima bantuan sampingan daripada APMM (Agensi Pengutakuasaan Maritim Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Jabatan Pertahanan Awam,” kata Mohamed Zulkhairul.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment