My Add

Sunday 7 October 2012

Mek Long meninggal dunia pada usia 80 tahun

 BESUT, AHAD, 07 Oktober, 2012: Mek Long Salim, 80, yang pernah menjadi perhatian ramai meninggal dunia di rumahnya di Kampung La, Hulu Besut, semalam.

Beliau meninggal akibat sakit tua di hadapan suaminya Hassan Awang, 70.
Anak lelaki mereka yang tinggal di Kuala Lumpur sempat pulang untuk menziarah jenazah Allahyarham yang disemadi di Tanah Perkuburan Kampong La selepas solat Asar semalam.

Mek Long cacat penglihatan, begitu juga suaminya.

Namun Mek Long semasa hayatnya dilaporkan berupaya memanjat pokok kelapa dan melakukan rutin harian yang lain seperti memasak, membasuh dan mengemas rumah.

"Pemergian Mek Long meninggalkan suaminya juga cacat penglihatan sebatang kara. Mereka sebelum ini saling bergantung antara satu sama lain.

"Mereka tinggal sendirian dengan makan minum mereka diuruskan oleh anggota keluarga yang tinggal tidak jauh daripada rumahnya," kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampong La, Zakaria Musa.

Mereka berdua menjadi ikon kepada penduduk kampung kerana kegigihan mereka menjalani kehidupan di usia tua tanpa mengharap bantuan sesiapa.

Namun kehidupan mereka tidak terlepas pandang oleh pihak berkaitan apabila mereka turut diberi bantuan di bawah Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (Karisma) untuk membaiki rumah mereka di samping bantuan lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment