My Add

Thursday 11 October 2012

Minggu Malaysia London 2012 labuhkan tirai

LONDON, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Minggu Malaysia London 2012 yang berlangsung di South Bank di sini selama lima hari sejak Sabtu lalu, melabuhkan tirainya semalam.

Acara penutupnya disempurnakan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen manakala perasmian oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. 

Peserta program yang ditemui bukan sahaja melahirkan rasa bangga kerana dapat mewakili Malaysia untuk memperkenalkan seni budaya dan warisan tanah air, tetapi juga mahu program sedemikian diteruskan pada masa akan datang.

Usahawan batik, Mohd Rashdi Ibrahim, 43, dari Kelantan, berkata Minggu Malaysia bukan sekadar acara untuk memperkenalkan Malaysia tetapi juga untuk menarik kedatangan pelancong ke Malaysia.

"Masyarakat di sini seperti terpegun melihat barangan yang terdapat di Malaysia dan ramai juga yang membelinya.

"Pandangan saya, kita seboleh-bolehnya jangan setakat di sini, tetapi diteruskan kerana ramai yang tak tahu apa yang terdapat di Malaysia," katanya yang mengikuti program itu buat kali ketiga.

Mohd Rashdi berkata, sambutan terhadap produk batik amat menggalakkan dan mencapai sasaran yang ditetapkan. 

Pelukis dari Balai Seni Visual Negara, Nik Zaiton Mustapha, 49, berkata pengunjung kagum melihat keindahan Malaysia melalui lukisan beliau yang merakamkan mercu tanda negara seperti bangunan Sultan Abdul Samad dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Katanya, mereka bukan sahaja tertarik dengan lukisan terbabit tetapi pada masa yang sama menimbulkan minat mereka untuk mengunjungi Malaysia.

Beliau yang menghasilkan lukisan bertemakan destinasi pelancongan, pemandangan dan pemandangan flora, berkata mereka turut memuji Malaysia sebagai sebuah negara yang masyhur dan cantik pada pelbagai aspek seperti lukisan, kebudayaan selain mendapati orang Malaysia juga cantik dan baik.

Jayshree Ramasamy, 48, juga artis dari Balai Seni Visual Negara, berkata Minggu Malaysia dapat memperkenalkan Malaysia dengan lebih dekat lagi kepada pengunjung, terutama dari segi kepelbagaian budaya di Malaysia.

Katanya, program sedemikan juga adalah peluang untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment