My Add

Wednesday 10 October 2012

Misi Bantuan KP1M Myanmar 70 peratus tercapai

Daripada SUFFIAN ABU BAKAR
SITTWE, RABU, 10 Oktober, 2012: Misi Bantuan Kemanusiaan Myanmar 2012 anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) kini hampir 70 peratus terlaksana apabila lebih 100 tan daripada keseluruhan 580 tan bantuan yang dibawa menerusi kapal Bima Sinar berjaya dikeluarkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 45 tan barangan antaranya makanan, pakaian dan perubatan sudah diagih-agihkan kepada lima buah pusat penempatan sementara penduduk tempatan (IDPs) masyarakat Rohingya dan Buddha di Rakhine.

Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez berkata, misi ini berjalan lancar hasil kerjasama dan kawalan keselamatan yang diberikan kerajaan pemerintah Myanmar dan kerajaan negeri Rakhine.

“Kesemua baki 480 tan bantuan yang masih berada dalam kapal di Pelabuhan Sittwe akan dikeluarkan esok. Peralatan perubatan akan diserahkan kepada hospital di sini untuk diagih-agihkan kepada semua klinik di pusat penempatan sementara di Rakhine.

“Misi ini akan diteruskan dengan menyampaikan bantuan kepada dua lagi penempatan masyarakat Buddha Rakhine," katanya kepada pemberita Malaysia selepas menyampaikan sumbangan di lima pusat pusat penempatan di sini.

Sebanyak 51 peserta misi bantuan kemanusiaan ini tiba di sini untuk mengagihkan 580 tan barangan keperluan kepada penduduk Rakhine yang terlibat dalam pergolakan etnik sejak Mei lalu.

Lima buah pusat penempatan sementara yang dikunjungi hari ini adalah dua kem penempatan Rohingya di Baw Du Pha dan Thiet Kay Pyin, Kampung Baw Du Pha serta dua pusat penempatan di Min Gan dan Sekolah Bahasa Inggeris Sittwe yang menempatkan penghuni Buddha. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment