My Add

Wednesday 10 October 2012

Rakyat Myanmar terharu terima bantuan Malaysia

Daripada SUFFIAN ABU BAKAR
SITTWE, RABU, 10 Oktober, 2012: Kehadiran pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Myanmar 2012 ke Rakhine sejak Ahad lalu memberi seribu makna kepada penduduk Muslim dan Buddha yang ketika ini dipisahkan setelah terlibat pergolakan kaum sejak Mei lalu.

Selain mereka yang ditempatkan di pusat penempatan sementara, masyarakat Rohingya dan Buddha yang tinggal di kampung-kampung di negeri ini turut mengalami kepayahan akibat kemiskinan yang melanda mereka.

Untuk itu, sebanyak 580 tan barangan bantuan berupa makanan, pakaian dan ubat-ubatan yang dibawa misi ini oleh Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bukan sahaja melegakan mereka malah memberi nafas baru kepada semua penduduk di sini yang selama ini dahagakan bantuan.

Misi ini yang mengagihkan sebahagian daripada keseluruhan bantuan itu di lapan buah pusat penempatan sementara penduduk tempatan (IDPs) kaum Rohingya dan Buddha Rakhine selain beberapa buah kampung didiami kedua-dua etnik itu.

Sumbangan diserahkan sendiri oleh Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kepada wakil penduduk di kawasan yang dilawati termasuk 16 wartawan dari Malaysia.

Salah seorang penerima bantuan dari kaum Rohingya, Rashid Nor Muhamad, 45, berkata, bantuan seperti ini sememangnya ditunggu oleh dia dan lebih 15,000 masyarakat Rohingya yang ditempatkan di beberapa pusat penempatan di sini sejak empat bulan lalu.

“Tiada apa lagi yang boleh kami ucapkan selain terima kasih atas bantuan yang diberikan kerajaan dari Malaysia. Sekurang-kurangnya apa yang disampaikan oleh misi ini membuatkan kami bernafas semula," katanya yang pernah bekerja di Ampang, Selangor selama tiga tahun.

Misi kali ini dianggap bertuah kerana dibenarkan oleh Kerajaan Myanmar untuk masuk ke penempatan dalam jumlah yang ramai bagi mengagihkan bantuan.

Selain Rashid yang ditempatkan di pusat penempatan sementara di Baw Du Pha, seorang lagi penerima bantuan kaum Rohingya, Abdul Hashim, 45, tidak dapat menahan sebak apabila dapat bertemu dengan peserta misi bantuan ini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana rakyat Malaysia begitu prihatin dengan apa yang berlaku di negara ini.

“Jika boleh saya mahu kembali ke Malaysia, namun saya ada keluarga di sini yang perlu dijaga," katanya yang pernah bekerja di Butterworth, Pulau Pinang 15 tahun lalu.

Sementara itu, misi bantuan di pusat penempatan kaum Buddha Rakhine turut menerima sambutan memberangsangkan daripada penduduk di kawasan itu.

Sebaik sahaja pasukan sukarelawan tiba, kami disambut dengan ribuan penduduk yang beratur di sepanjang jalan masuk untuk menyambut kehadiran pasukan misi ini.

Daw Nyein Shae, 45, yang tinggal di Kampung Byine Phyu berkata, dia berterima kasih dengan bantuan yang diterima ini kerana ia sedikit sebanyak membantu mereka yang berpendapatan rendah selain terlibat dalam pergolakan etnik di kawasan tersebut.

“Bagi saya semua kaum tidak perlu bergaduh. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sudi membantu rakyat Myanmar tanpa mengira kaum," katanya yang belum berkahwin.

Pho Than Sein, 44, seorang kakitangan kerajaan pula berkata, Malaysia boleh membantu Myanmar menunjukkan contoh terbaik bahawa kepelbagaian kaum bukan punca sesebuah negara itu mudah terlibat dalam kancah pergolakan.

Baginya, apa yang berlaku di negara ini sepatutnya dihindarkan kerana ia mungkin berpunca daripada salah faham terhadap isu kecil yang diperbesar-besarkan sehingga mencetus kekecohan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment