My Add

Thursday 11 October 2012

Muhdalena diperintah ke hospital sakit mental

PUTRAJAYA, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Muhdalena Ahmad,28, yang didakwa melakukan jenayah ugutan dan memiliki sebilah pedang di perkarangan Jabatan Perdana Menteri, ditahan dan dihantar ke hospital sakit mental.

Hakim Mohamed Kamil Nizam memutuskan demikian selepas peguam, M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena memohon mendapatkan pemeriksaan lanjutan berdasarkan saranan doktor yang merawat Muhdalena selepas kejadian.

Muhdalena diperintah menjalani pemeriksaan dalam tempoh sebulan dan disebabkan itu, Mohamed Kamil menangguh perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini dan esok.

Beliau walau bagaimanapun menetapkan 23 November ini untuk sebutan kes itu.

Terdahulu, Visvanathan memberitahu mahkamah bahawa doktor di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya, Dr. Umi Adzlin Silim membuat saranan supaya tertuduh dirujuk kepada pakar forensik psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani penilaian dan rawatan.

"Tertuduh dimasukkan ke wad Hospital Putrajaya pada hari kejadian (16 Julai lalu). Mengikut penilaian doktor, tertuduh mengalami kemurungan dan gejala psikotik iaitu delusi dan halusinasi.

"Tertuduh sedang diberikan ubat anti kemurungan dan anti psikotik setiap hari sehingga ke hari ini," katanya.

Mengikut laporan perubatan yang dikemukakan ke mahkamah, sehingga kali terakhir berjumpa doktor pada 9 Oktober lalu, Muhdalena masih mengalami mimpi buruk dan kejadian pelik dengan merasakan dirinya menjadi pahlawan dari zaman silam yang sedia bertempur bila-bila masa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment