My Add

Saturday 27 October 2012

Mukhriz tegur MB Kedah

ALOR SETAR, JUMAAT, 26 Oktober, 2012: UMNO Kedah menyelar sikap cuci tangan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menyalahkan pihak lain tentang kegagalan projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea (PNG).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, tindakan Azizan itu menggambarkan perjuangan politik Pas Kedah sendiri yang seolah-olah hanya mahukan kuasa tetapi bukan tanggungjawab kepada rakyat.

Katanya, sebagai Menteri Besar dan juga Lembaga Pengarah dalam projek tersebut, Azizan sepatutnya memikul sepenuhnya tanggungjawab ke atas kerugian yang dialami Kedah Corporation Berhad (KCB) ekoran pelaburan yang disifatkannya melulu itu.

"Kuasa datang bersama tanggungjawab. Tidak boleh kejar kuasa tetapi kemudian tidak berminat untuk menanggung tanggungjawab.

"Seorang Menteri Besar mestilah secara keseluruhan bertanggungjawab ke atas sesuatu projek di bawah kerajaan negeri, tidak kira beliau mengurus secara langsung atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kios Oblong Burger di Menara Alor Setar dekat sini, semalam.

Beliau mengulas tentang kenyataan Azizan yang mendakwa kegagalan projek pembalakan dan perladangan di PNG yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM13.49 juta itu berpunca daripada tindakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KCB ketika itu.

Mengulas lanjut, kata Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, alasan Azizan bahawa tidak tahu-menahu tentang pelaburan tersebut juga tidak masuk akal memandangkan beliau sendiri yang menyaksikan projek itu dimeterai KCB dengan sebuah syarikat pelaburan asing.

"Beliau juga tidak boleh menyalahkan Barisan Nasional (BN) kerana projek itu dimulakan pada Oktober 2008," katanya.

Beliau pada masa yang sama menggesa agar syarikat tempatan menjadikan kegagalan KCB itu sebagai pengajaran dan bersikap berhati-hati dalam membuat pelaburan asing.

"Sesuatu yang pasti pelaburan tersebut dilakukan tanpa kajian dan perancangan mendalam sehingga ahli lembaga pengarah sendiri tidak berpeluang menilai manakah perniagaan baik," katanya.

Tambah beliau, pintu kementeriannya terbuka luas bagi syarikat ini dalam usaha mendapatkan khidmat nasihat berhubung potensi atau prospek pelaburan terutama di luar negara.

"Walaupun bukan peraturan, namun satu amalan yang baik untuk memaklumkan kepada kerajaan tentang pelaburan tersebut dan mendapatkan khidmat nasihat.

"Kerajaan bukan ingin masuk campur tetapi sekurang-kurangnya perkara seumpama ini dapat dielakkan," katanya lagi.

Menyentuh tentang campur tangan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada Pas dalam pentabdiran kerajaan negeri, kata Mukhriz, tidak wajar berlaku memandang tindakan itu seolah-olah membelakangkan Sultan Kedah.

"Bukan sesuatu yang boleh diminta-minta untuk menukar Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) semata-mata mereka tidak menyukai tindakan yang dilakukannya.

"Mereka tidak boleh membelakangkan Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong kini. Kita nak lihat apakah yang akan dilakukan oleh Azizan untuk menyelesaikan kemelut ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment