My Add

Saturday 27 October 2012

PPM serah bantuan kemanusiaan RM10,000 sempena Aidiladha

BOGOR, JUMAAT, 26 Oktober, 2012: Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia (PPM) menyerahkan bantuan kemanusiaan bernilai lebih RM10,000 kepada umat Islam dan pelajar miskin di Kampung Bubulak Padasuka, Ciomas, di sini hari ini.

Bantuan termasuk kain pelikat, telekung, kopiah, surah Yasin dan sejadah itu diserahkan oleh Presiden PPM, Mohd. Rafiq Naizamohideen kepada kumpulan sasar yang diwakili oleh para pemimpin masyarakat Islam tempatan.

Sumbangan terbesar diterima oleh lebih 300 pelajar Islam yang menuntut di Pondok Pesantren Darussalam yang diserahkan kepada Pengetuanya, Mu'tashim Billah sebelum solat Hari Raya Aidiladha.

Selain sumbangan berbentuk pakaian yang bernilai kira-kira RM5,000 itu, PPM juga turut membelanjakan RM5,000 lagi untuk menaikkan taraf gelanggang bola keranjang dan bola tampar di Pondok Pesantren Darussalam.

Selain itu, PPM juga menyerahkan dua ekor lembu untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha buat masyarakat Islam di sini.

Salah seekor daripada haiwan itu disumbangkan oleh PPM sendiri, manakala seekor lagi milik Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka.

Apa yang menarik, sebaik sahaja sumbangan itu disampaikan kepada mereka yang terdiri daripada golongan asnaf, beberapa orang daripadanya terus menadah tangan berdoa kepada Allah di hadapan Presiden PPM kerana mensyukuri rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka menerusi PPM.

Pengetua Pondok Pesantren Darussalam ketika ditemui berkata, pihaknya tidak menjangkakan menerima bantuan PPM itu.

"Sesungguhnya saya bagi pihak diri dan anak-anak di Pondok Pesantren Darussalam amat berbesar hati dengan apa yang Allah kurniakan kepada kami seperti yang disampaikan oleh para pemimpin PPM dari Malaysia ini.

"Kegembiraan itu amat payah untuk diterjemahkan, sama ada melalui perkataan secara lisan mahukan bertulis. Betapa besarnya hati kami, hanya Allah yang maha mengetahui. Apa yang kami boleh nyatakan ialah amat berterima kasih," ujarnya.

Presiden PPM pula menyifatkan, bantuan yang disampaikan itu sekadar sumbangan daripada seorang jiran atas dasar persaudaraan di bawah Program Integrasi Pemikir Muda Antarabangsa Malaysia-Indonesia 2012.

Menurut beliau, usaha yang dilakukan itu adalah untuk mengakrabkan lagi hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Jakarta sebagaimana yang telah disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ternyata mendapat sokongan hebat daripada kepimpinan muda kedua-dua negara. - UTUSAN

"Sambutan hebat yang PPM terima daripada masyarakat di sini membuktikan kepada semua bahawa tuduhan pihak tertentu, kononnya rakyat Indonesia berkonfrantasi dengan warga Malaysia berikutan beberapa isu ternyata tidak berasas.

"Saya percaya peluang dan ruang yang diperoleh oleh pemimpin muda Malaysia dan Indonesia yang menyertai program ini dapat diperluaskan secara berjadual untuk manfaat kedua-dua belah pihak," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment