My Add

Wednesday 17 October 2012

Muktamad segera rundingan Perjanjian Perdagangan Malaysia-Kuwait

BANDARAYA KUWAIT, RABU, 17 Oktober, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap perundingan Perjanjian Perdagangan Malaysia-Kuwait, yang sudah mencapai kemajuan, dimuktamadkan dengan segera bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan dua hala.

"Malaysia berharap agar lebih banyak syarikat dari Kuwait akan melabur di Malaysia seperti Kuwait Finance House dan Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company," kata Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berharap supaya syarikat dari Kuwait akan mengambil kesempatan ke atas peluang di bawah Program Transformasi Ekonomi yang mengenal pasti 12 bidang utama sebagai peluang pelaburan.

Nilai dagangan antara Malaysia dan Kuwait mencecah RM1.945 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) yang berakhir di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay dan Duta Malaysia ke Kuwait, Datuk Adnan Othman.

Muhyiddin berkata Kuwait juga mempelawa syarikat Malaysia mengambil bahagian di dalam program pembangunan infrastruktur lima tahunnya yang berjumlah AS$130 bilion.
Katanya ini termasuk pembinaan lebuh raya, lapangan terbang dan pelabuhan.

"Memang banyak syarikat Malaysia menerokai Timur Tengah. Mungkin maklumat (mengenai peluang di Kuwait) tak sampai atau ada tak jelas dengan dasar-dasar dan undang-undang di sini...mungkin sebab itu tak tumpu sini," katanya.

Katanya berkata pelawaan itu dibuat semasa perbincangan dua hala beliau dengan Perdana Menteri Kuwait Sheikh Sabah al-Ahmed al-Jaber al-Sabah di sini.

Beliau berkata, Sheikh Sabah al-Ahmed memaklumkan kesediaan Kuwait untuk membantu syarikat Malaysia dan berpendapat bahawa wujud keperluan syarikat-syarikat pakar dari Malaysia untuk menjalankan projek kerjasama dalam bidang tertentu.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, beliau mencadangkan supaya kedua-dua belah pihak mengadakan misi khas perdagangan bagi menggalakkan dan menerokai bidang pelaburan yang baru.

Muhyiddin juga berkata beliau telah memanjangkan jemputan kepada Perdana Menteri Kuwait untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dan turut berharap supaya Emir Kuwait juga dapat mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia.

Katanya sektor pelancongan juga menunjukkan kemajuan, dengan hampir 23,000 rakyat Kuwait melawat Malaysia tahun lepas, berbanding 18,010 pada 2010.

Muhyiddin berkata beliau berharap jumlah itu akan terus meningkat di masa hadapan, dan bagi menarik lebih ramai lagi pelancong, Malaysia telah memperkenalkan tarikan baru pelancongan seperti Legoland.

Katanya, Perdana Menteri Kuwait berpendapat bahawa pihak media boleh membantu dalam promosi pelancongan selain daripada pertukaran lawatan pada peringkat tinggi.

Selain itu, Muhyiddin berkata Memorandum Kerjasama Pengajian Tinggi telah dimuktamadkan dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk ditandatangani sama ada di Kuala Lumpur atau di Bandaraya Kuwait.

Pada pertemuan itu juga, kedua-dua negara bersetuju untuk menyokong pencalonan masing-masing bagi kerusi anggota bukan tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia dan Kuwait masing-masing bertanding bagi kerusi berkenaan bagi tempoh 2015-2016 dan 2018-2019.

Pada pertemuan itu juga, Malaysia meminta sokongan Kuwait untuk pencalonannya dalam Jawatankuasa Hak Kanak-kanak (CRC), serta menyokong pencalonan negara Teluk itu di dalam Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) dan Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment