My Add

Wednesday 10 October 2012

 Mustapa Mohamed.
 Miti kaji program mentor untuk PKS

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Oktober, 2012: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengkaji kemungkinan mengadakan program mentor untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menambah baik keupayaan mereka dalam perniagaan diceburi.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, konsep mentor itu beri peluang kepada PKS untuk mendapat bimbingan dari syarikat-syarikat tempatan berjaya.

“Saya harap ada program khas untuk menempatkan PKS ini untuk meningkatkan kemahiran insaniah dan keberkesanan perniagaan mereka,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Latihan PKS-Universiti 2012, semalam.

Mustapa memberi contoh mentor sesuai seperti Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin dan pengasas Securiforce Group of Companies, Datuk Maznah Abd Hamid, yang berjaya membangunkan syarikat tanpa bantuan kerajaan.

Program seperti itu dapat mengatasi kelemahan PKS seperti pengurusan kewangan yang lemah, pemasaran yang tidak teratur dan pelan perniagaan tidak lengkap.

Katanya, penuntut universiti digalak melibatkan diri dalam aktiviti keusahawan sebagai cabang kerjaya.

Semasa berucap sebelum itu, beliau berkata, bagi menggalakkan lebih ramai graduan menjadi usahawan, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan peruntukan bagi usahawan muda teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan dana bagi usahawan muda yang akan diagihkan oleh SME Bank.

“Oleh itu, pelajar perlu mengambil peluang untuk tingkatkan kemahiran insaniah dan membina keyakinan diri bagi pastikan mereka dapat membina semangat berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya pertandingan seperti Kejohanan Latihan PKS-Universiti itu, ianya dapat memperkenalkan konsep keusahawanan melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara pelajar dan PKS. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment