My Add

Thursday 25 October 2012

Najib akhirnya berpeluang cabar Tiger Woods
 

Oleh Metra Syahril Mohamed dan Tan Ming Wai
KUALA LUMPUR, RABU, 24 Oktober, 2012: Hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk beraksi bersama Tiger Woods tercapai apabila mereka 'berentap' dalam perlawanan pro-am sempena Kejohanan Golf CIMB Classic 2012, semalam.

Diadakan di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan, dekat sini, Najib sebelum ini pernah menyatakan hasrat sedemikian bagi meraikan kehadiran bintang golf terkemuka dunia itu yang kali terakhir menjejakkan kaki ke Malaysia 13 tahun lalu, ketika itu untuk Piala Dunia.

Beraksi satu 'flight' dengan Woods serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan adik Najib, Datuk Nizam Razak, Najib tampak kompetitif dan berada pada tahap kecergasan tertinggi.

Beliau menghabiskan saingan kesemua 18 lubang di lapangan yang menjadi tuan rumah kepada kejohanan berprestij menawarkan hadiah tunai keseluruhan AS$6.1 juta (RM18.66 juta) itu.

Pergerakan Najib dan Woods jelas paling mencuri tumpuan apabila langkah mereka diikuti dari mula sehingga ke lubang yang terakhir.

Kumpulan pemain Malaysia pertama mendapat penghormatan beraksi bersama legenda golf dunia itu ialah dua jaguh pro veteran negara, M. Ramayah dan P. Gunasegaran, apabila digandingkan satu 'flight' dengan Amerika Syarikat sewaktu Piala Dunia di lapangan yang sama pada 1999.

Selain berentap dengan Woods, Najib turut meluangkan masa bertemu dengan beberapa pemain profesional lain yang menyertai kejohanan berkenaan.

Ini termasuk pemain golf negara, Mohd. Shaaban Hussin dan Danny Chia.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Terdahulu, kemunculan Woods menarik perhatian ramai peminat yang mengharapkan aksi terbaik beliau untuk membawa pulang kejuaraan yang menawarkan hadiah lumayan AS$1.3 juta (RM3.96 juta).

CIMB Classic yang turut diiktiraf Jelajah Asia, sekali lagi akan menampilkan 48 pemain, di mana 30 daripadanya pemain Jelajah PGA (Persatuan Golf Profesional), 10 Jelajah Asia manakala lapan lagi tajaan penaja. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment