My Add

Friday 12 October 2012

Najib bakal ceriakan Climbaton Antarabangsa Gunung Kinabalu

RANAU, JUMAAT, 12 Oktober, 2012: Masyarakat tempatan bakal menyaksikan sejarah tercipta apabila Datuk Seri Najib Razak melepaskan peserta Climbaton Antarabangsa Gunung Kinabalu (Siri Mencabar) di Taman Kinabalu, Kundasang, dekat sini, Ahad ini.

Kehadiran Perdana Menteri bukan sahaja mampu menaikkan imej sukan lasak laluan baharu itu di peringkat antarabangsa tetapi juga membantu merealisasikan wawasan kerajaan Sabah untuk mempelbagai produk pelancongan negeri melalui aktiviti berbentuk rekreasi.

Sebelum ini, acara Climbaton Antarabangsa Kinabalu melahirkan ramai pendaki gunung handalan tempatan dan antarabangsa, sekali gus menjadikannya antara tarikan utama pelancong ke Sabah.

Laluan siri baharu sejauh 23 kilometer, yang menggantikan acara Climbaton Antarabangsa Kinabalu itu, akan bermula di Timpohon Gate dan seterusnya melalui Layang-Layang, Kampung Mesilau dan berakhir di Pekan Kundasang.

Acara ini adalah satu daripada aktiviti kerajaan Sabah dalam usaha meletakkan nama daerah Ranau, yang ada Gunung Kinabalu gunung tertinggi di Asia Tenggara, sebagai daerah pelancongan terkenal di dalam dan luar negara.

Sebenarnya, rakyat di daerah ini bukan setakat menikmati pembangunan dalam arena pelancongan tetapi turut menerima pelbagai projek pembangunan mega termasuk Kompleks Sukan Ranau.

Dengan kedudukannya yang terletak di dataran lembah yang beriklim cuaca lembap dan sejuk dikelilingi hutan rimba Banjaran Crocker, Ranau memang sesuai dijadikan lokasi sebuah kompleks sukan yang terletak di dataran sebuah bukit di Tanah Merah berhampiran Kampung Lohan Ulu, kira-kira 10 kilometer dari pekan Ranau.

Pegawai Daerah Ranau Faimin Kamin berkata, Kompleks Sukan Ranau yang terletak di kedudukan paling tinggi latitud di Malaysia dan antara lokasi tertinggi di Asia itu menelan belanja RM35 juta dengan tiga fasa pembinaan iaitu stadium terbuka, dewan dan asrama.

"Kompleks sukan itu pastinya akan memberi kemudahan kepada para atlet bukan sahaja dari Ranau tetapi juga dari luar daerah serta boleh dijadikan venue pelbagai kejohanan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment