My Add

Monday 8 October 2012

Najib terima kunjungan hormat Menteri Luar Thailand

PUTRAJAYA, ISNIN, 08 Oktober, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Thai, Dr Surapong Tovichakchaikul di pejabatnya di bangunan Perdana Putra di sini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Thai Sihasak Phuangketkeow, Duta Besar Thailand ke Malaysia, Krit Kraichitti dan Menteri Kedutaan dan Kuasa Usaha Kedutaan Thai di Kuala Lumpur Songsak Saicheua. 

Dr Surapong berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari.

Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan usaha berterusan dan inisiatif baru bagi mengukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin serta kerjasama di antara kedua buah negara yang berjiran itu.

Semalam, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Malaysia dan Thailand sudahpun mempunyai beberapa mekanisme kerjasama dua hala peringkat tertinggi seperti Perundingan Tahunan Pemimpin, Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala, Jawatankuasa bagi Strategi Pembangunan Bersama bagi kawasan Sempadan, Jawatankuasa Am Sempadan dan Jawatankuasa Bersama Perdagangan.

Kedua-dua negara sedang meningkatkan usaha bagi memantapkan lagi kerjasama yang saling bermanfaat bagi kedua belah pihak dan di pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, keselamatan, pendidikan dan latihan vokasional, belia dan sukan, pelancongan, kesalinghubungan serta pembangunan sosio ekonomi di kawasan sempadan.

Perdagangan dua hala terus menerus mencatat trend peningkatan dengan dagangan pada 2011 bernilai AS$22.95 bilion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment