My Add

Monday 8 October 2012

Anifah terima kunjungan hormat rakan sejawat dari Thailand

PUTRAJAYA, ISNIN, 08 Oktober, 2012: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Thailand, Dr Surapong Tovichakchaikul di pejabatnya, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand, Sihasak Phangketkeow; Duta Thailand ke Malaysia, Krit Kraichitti serta Menteri dan Kuasa Usaha di Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur, Songsak Saicheua. 

Dr Surapong berada di sini dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan selama sejam dengan Anifah, Dr Surapong berkata mereka berbincang mengenai pembangunan ekonomi, bandar raya getah dan juga hubungan tiga hala antara Malaysia, Thailand dan Indonesia berhubung penstabilan harga getah pada masa hadapan.

"Kami juga berbincang mengenai apa yang akan kami lakukan ketika mesyuarat jawatankuasa bersama di Thailand bulan depan atau sebelum hujung tahun ini, serta persediaan untuk rundingan tahunan kelima pemimpin," katanya.

Mengenai isu di selatan Thailand, Dr Surapong berkata mereka menghargai sokongan Malaysia terutama dari segi pendidikan termasuk biasiswa yang disediakan Malaysia untuk penduduk di wilayah itu.

"Kami mengharapkan sokongan Malaysia untuk membolehkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memahami situasi di Thailand bahawa kita sedang berusaha membawa keamanan di situ," katanya. 

Sementara itu menurut kenyataan Wisma Putra, Dr Surapong dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri hari ini.

Antara lain, pertemuan itu dijangka memberi peluang kepada kedua-dua pihak berbincang mengenai usaha sedia ada dan inisiatif baharu bagi terus memperkukuhkan hubungan dua hala yang mesra antara dua negara tetangga tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment