My Add

Sunday 7 October 2012

Nelayan wajib sedia jaket, pelampung keselamatan: Johari Baharom

 YAN, AHAD, 07 Oktober, 2012: Semua nelayan wajib menyediakan jaket serta pelampung keselamatan dalam bot mereka ketika keluar menangkap ikan di laut sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, dalam kebanyakan kes kecemasan sebelum, nelayan yang terselamat ialah mereka yang menggunakan jaket atau pelampung terbabit.

"Jaket keselamatan hanya boleh bertahan enam jam sahaja, jadi nelayan juga perlu menyediakan pelampung bagi membantu mereka jika jaket tidak berfungsi," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Lesen Sampan dan Jaket Keselamatan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Udang, di sini hari ini.

Mohd Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata peraturan terbabit dikuat kuasa oleh kerajaan awal tahun ini namun masih ramai nelayan yang gagal mematuhi arahan itu.

Beliau berkata, kementeriannya dengan beberapa agensi lain seperti Jabatan Perikanan dan Persatuan Nelayan Negeri Kedah, akan menggiatkan kempen mengenai kepentingan jaket dan pelampung keselamatan agar aspek membabitkan keselamatan diri dan pekerja dipandang serius.

Johari berkata, jika ada nelayan yang gagal untuk mematuhi peraturan terbabit mereka akan dikenakan tindakan digantung lesen menangkap ikan selama enam bulan.

Beliau berkata, peraturan sama juga terpakai bagi nelayan yang menawarkan perkhidmatan memancing di laut kepada orang ramai.
Katanya, kementerian itu juga akan mengkaji sama ada pemancing di laut perlu diliputi kemudahan insurans seperti nelayan lain.

"Kita hanya menyediakan insurans kepada nelayan sahaja sebanyak RM100,000 jika mereka terlibat dalam kemalangan laut serta pelbagai kemudahan perubatan lain," katanya.

Terdahulu Johari menyerahkan lesen sampan kepada 134 nelayan pantai di kawasan Parlimen Yan, Kuala Muda dan Merbok.

Johari berkata, mereka yang memiliki lesen tersebut perlu mematuhi syarat yang ditetapkan, antaranya tidak menggunakan pukat jerut dan tunda yang boleh mengancam spesies ikan yang tidak dibenarkan ditangkap. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment