My Add

Thursday 25 October 2012

Pas Kelantan tetap mahu Nik Aziz

KOTA BHARU, RABU, 24 Oktober, 2012: Pas Kelantan tetap mahu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar negeri itu walaupun beliau tidak dapat melakukan kerja berat ekoran masalah kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keadaan Nik Abdul Aziz itu bukan satu masalah kerana semua kerja berat itu akan dilakukan barisan Exco.

Menurut beliau, kehadiran Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin nombor satu di Kelantan sudah cukup untuk menepati ciri-ciri kepemimpinan ulama yang diperjuangkan Pas.

Justeru katanya, Nik Abdul Aziz hanya perlu mengeluarkan idea tanpa perlu bekerja keras kerana semua kerja yang ada akan dilakukan oleh orang bawahannya.

"Apa yang penting sekarang kami mahu beliau dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob sebab mereka adalah pemimpin ulama dan kepemimpinan mereka masih diperlukan.

"Beliau tidak payah buat kerja pun sebab semua kerja ada barisan Exco yang buat. Beliau cuma memberikan nasihat kami yang buat kerja," katanya yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya rakyat membuka mata dan menolak untuk memilih pemimpin yang tidak menepati janji.

Teguran tersebut ditujukan kepada Nik Abdul Aziz ekoran kenyataannya yang membayangkan mahu bertanding lagi dalam pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang walaupun pernah berjanji untuk berundur sebelum ini.

Nik Abdul Aziz yang kini berusia 81 tahun sudah 44 tahun berkecimpung dalam politik. Beliau yang menyertai Pas pada tahun 1960 sebagai ahli biasa pernah menjadi Ahli Parlimen Hilir Kelantan pada 1967 dan menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz ketika ditemui mengelak daripada memberi penjelasan mengenai teguran Dr. Mahathir ekoran tindakan beliau yang tidak menunaikan janji untuk bersara.

Beliau sebaliknya seperti biasa menempelak UMNO sebelum berlalu menaiki lif selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini. - UTUSAN
m

No comments:

Post a Comment