My Add

Friday 5 October 2012

Pecah amanah: Suami isteri dihukum penjara 10 tahun
 *JOHARI Ahmad dan Aishah Mohamed Rose di Mahkamah
Sesyen, Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA
PULAU PINANG, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Seorang bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat dan suaminya, seorang peguam, masing-masing dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah harta milik Bank Muamalat Bhd. cawangan Universiti Sains Malaysia (USM), bernilai RM1.57 juta, tiga tahun lepas.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Aishah Mohamed Rose dan suaminya, Johari Ahmad, masing-masing berusia 51 tahun, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu.

Selain itu, pasangan suami isteri itu masing-masing turut dikenakan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM183,702.63.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Aishah didapati bersalah ketika urusan penguasaan dan perjalanan ke atas harta berjumlah RM1,578,191 di Bank Muamalat di Bangunan D12, USM, Jalan Minden di sini, di antara 23 Februari dan 7 Disember 2009.

Bagi pertuduhan itu, Aishah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Johari pula disabit kesalahan bersubahat dengan isterinya untuk melakukan pecah amanah, pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Johari didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aishah juga didapati bersalah membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM183,702.63 melalui cek bertarikh 1 Disember 2009 ke dalam akaun pelanggan firma guaman, Tetuan Johari Nasri & Tan, di cawangan bank tersebut di Bangunan D12, USM, Jalan Minden, di sini, pada 7 Disember 2010.

Johari pula didakwa bersubahat dengan isterinya itu untuk melakukan aktiviti pengubahan wang haram pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM5 juta.

Sitarun Nisa memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak mulai hari ini.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan peguam tertuduh, Md. Yusuf Md. Idris, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut menaikkan jumlah wang jaminan daripada RM100,000 kepada RM150,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puveneswaran Mohanasundram. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment