My Add

Sunday 21 October 2012

Pelan transformasi kerajaan bukan sekadar slogan: Wanita MCA

KUALA LUMPUR, SABTU, 20 Oktober, 2012: Pelan transformasi yang dilancarkan Barisan Nasional (BN) bukan sekadar slogan, sebaliknya objektif yang jelas dan tegas dengan strategi konkrit serta pelan tindakan yang praktikal, kata Ketua Wanita MCA, Datuk Yu Chok Tow.

Beliau berkata pelan seperti Pelan Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Politik yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjanjikan pembangunan Malaysia dalam cara yang stabil disertai strategi sebenar berbanding slogan populis pakatan pembangkang.

"DAP terus menggesa kaum Cina supaya mengundi bagi 'UBAH' dalam pilihan raya umum akan datang, namun hakikatnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, kita telah pun melihat perubahan ini di bawah pelbagai pelan transformasi," kata Yu ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-37 Wanita MCA di sini hari ini.

Yu berkata Najib mempunyai hasrat yang tegas dan ikhlas untuk memimpin Malaysia ke arah era yang stabil, maju dan moden di samping mempunyai keberanian, iltizam dan kesediaan untuk bekerja keras dan pada masa sama mesra rakyat, pantas berfikir, praktikal dan liberal.

"Pemimpin seperti ini sukar diperoleh," katanya.

Mengenai pilihan raya umum akan datang, Yu berkata ia akan menentukan nasib masa depan negara, di samping nasib masyarakat Cina, maka mereka perlu memilih transformasi dan meneruskan pentadbiran kerajaan BN sekarang yang mengambil kira setiap aspek kehidupan rakyat.

Beliau menegaskan semula komitmen pergerakan itu untuk memberi sepenuh sokongan kepada Najib bagi memastikan kejayaan BN dalam pilihan raya umum ke-13 agar rakyat mempunyai masa depan yang lebih baik.
"Kami akan melakukan yang terbaik untuk meningkatkan semangat dan bekerja keras untuk berdepan pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sementara itu, Yu berkata Wanita MCA menggesa polis supaya sentiasa berhubungan dengan masyarakat, mendekati orang ramai dan memahami kebimbangan mereka terhadap kejadian jenayah.

Beliau berkata kualiti pegawai polis juga perlu ditingkatkan di samping kecekapan dan cara mereka berkomunikasi dengan orang ramai.

"Sekiranya anggota barisan hadapan dapat mengekalkan tahap tertentu dalam profesionalisme, ia akan membantu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis kita," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment