My Add

Tuesday 16 October 2012

Pembangkang alu-alu perjanjian damai

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Oktober, 2012: Pakatan pembangkang mengalu-alukan perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi menamatkan konflik selatanFilipina yang telah berlarutan lebih 40 tahun.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ia satu penyelesaian baik dan positif kepada keamanan serantau dan antarabangsa seluruhnya.

"Kita harap semua perjanjian (yang dimeterai) itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Malaysia menjadi pengantara rundingan damai antara dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lalu.

Usaha perundingan itu diselesaikan pada Ahad lalu dengan upacara menandatangani perjanjian semalam disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III di Istana Malacanang, Manila, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata pakatan pembangkang turut berharap penyelesaian aman dan adil juga dapat dilaksanakan di Myanmar untuk menyelesaikan masalah penindasan etnik minoriti Rohingya di sana.

"Itu harapan kita, begitu juga di Selatan Thailand, kita mahu supaya keamanan wujud di sana," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment