My Add

Monday 8 October 2012

Pembangkang bangkitkan isu agama

KLUANG, AHAD, 07 Oktober, 2012: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan pembangkang yang semakin kerap menggembar-gemburkan isu agama dan perkauman sejak akhir-akhir ini adalah semata-mata atas kepentingan politik mereka terutama apabila pilihan raya umum semakin dekat.

"Setiap kali (semakin dekat) pilihan raya umum atau kecil, mereka akan menimbulkan isu-isu sedemikian," katanya kepada pemberita selepas Karnival Jelajah Sihat Bersama Komuniti dan perasmian Klinik 1Malaysia Taman Seri Lambak, di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tindakan itu jelas semata-mata atas kepentingan politik mereka.

"Bila jumpa penganut Kristian mereka (pembangkang) cakap macam ini... bila jumpa penganut Islam dan Buddha mereka cakap begitu.. Mereka buat pertimbangan bahawa pilihan raya umum tidak lama lagi, jadi mereka fikir memang sesuai untuk gembar-gemburkan isu kaum, isu agama ketika ini," katanya.

Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata, demikian sebagai mengulas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang meminta penganut Kristian supaya tidak berdiam diri walaupun merasakan mereka "tidak bersalah, suci dan tidak terlibat dalam perbuatan salah" ketika berucap di hadapan 300 pemimpin gereja, baru-baru ini.

Bishop Gereja Lutheran Evangelical, Rt Rev Dr. Solomon Rajah kemudian turut menyifatkan permintaan Lim supaya pihak gereja bangkit menyatakan ketidakadilan seperti dilaporkan portal berita propembangkang, Malaysiakini itu, hanya akan dilihat sebagai satu usaha untuk mempengaruhi pihak gereja agar berpolitik.

Hishammuddin berkata, setiap rakyat perlu memahami taktik yang digunakan pembangkang itu dan sekali gus berusaha membentuk gelombang yang membina bagi melawan perkara buruk yang dibawa pembangkang.

Katanya, rakyat juga perlu faham bahawa pelbagai isu akan berleluasa pada "musim politik" ini terutamanya isu lapuk yang akan dibangkitkan semula oleh pembangkang.

"Serangan peribadi ke atas pemimpin juga isu biasa bagi mereka (pembangkang).

"Kita jangan ikut rentak mereka. Jangan lawan buruk dengan buruk, tetapi lawan buruk dengan baik. Kita mengamalkan politik sihat dan dapat diterima semua pihak. Kita tidak bawa politik sempit dan jalanan," tegasnya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment