My Add

Saturday 20 October 2012

Pemuda MCA mahu ahli khianat parti dihukum


Dr Wee Ka Siong
 KUALA LUMPUR, SABTU, 20 Oktober, 2012: Pemuda MCA menggesa kepimpinan tertinggi parti itu supaya menghukum mereka yang mengkhianati parti dan mengutamakan calon yang layak dan berkemampuan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata parti mesti memberi peluang kepada yang berkemampuan dan ikhlas berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira puak dan kumpulan.

"Mereka inilah yang akan memberi harapan kepada rakyat dan menonjolkan keikhlasan parti MCA untuk berkhidmat untuk rakyat," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-48 di Wisma MCA, di sini hari ini.

Katanya calon MCA yang dipilih adalah harapan rakyat, bukan harapan satu pihak atau kumpulan, selain berkemampuan demi kesinambungan perjuangan parti.

Sementara itu, Wee berkata Pemuda MCA percaya bahasa Cina boleh menjadi bahasa popular dan mewujudkan fenomena "Oppa Chinese Style" seperti "Oppa Gangnam Style" yang menggegarkan dunia hiburan.

Ini kerana katanya bahasa Cina boleh dipelajari semua kaum dan telah menjadi bahasa penting susulan nilai ekonomi dan pasaran yang dimilikinya, sekali gus menyediakan peluang baharu kepada masyarakat Cina di Malaysia.

"Kejayaan penyanyi tempatan, Shila Amzah muncul sebagai juara 'Asian Wave 2012' di negeri China baru-baru ini jelas membuktikan bahasa Cina bukan suatu halangan kepada perpaduan rakyat sebaliknya boleh membantu seseorang mencapai kejayaan.

"Oleh itu masyarakat Cina mestilah memanfaatkan peluang ini dengan menggalakkan kaum lain mempelajari bahasa Cina supaya tidak dianggap sebagai bahasa untuk orang Cina sahaja sebaliknya untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk masyarakat Cina mengikis persepsi kononnya kepelbagaian dalam pendidikan dan kebudayaan merupakan halangan kepada perpaduan rakyat.

Sebaliknya pendidikan Cina harus memainkan peranan yang penting dalam sistem pendidikan aliran utama, katanya.

Katanya MCA perlu memimpin masyarakat Cina untuk menyakinkan kerajaan dan kaum lain supaya menerima hakikat bahawa kini rakyat seluruh dunia sedang bersungguh-sungguh mempelajari lebih banyak bahasa terutama bahasa Cina.

Dalam ucapannya Wee menyarankan kerajaan mengadakan lebih banyak ekspo pekerjaan bagi membantu pencari pekerjaan sekali gus mengelakkan pengangguran.

"Ekspo pekerjaan ini hendaklah merangkumi peluang pekerjaan semua peringkat dan semua industri, tidak terbatas kepada industri sains dan teknologi bagi memenuhi permintaan pemuda dari semua lapisan," katanya.

Saranan itu antara lima strategi yang diutara Pemuda MCA bagi membantu meningkatkan daya saing dan memajukan diri dalam kalangan pemuda.

Saranan lain ialah memperkenalkan lebih banyak kursus yang menepati kehendak pasaran; penubuhan badan invoasi pemuda bagi memasarkan produk yang dicipta golongan itu; memberi lebih banyak bantuan kepada pembangunan industri hiburan; dan pengecualian cukai kepada syarikat yang ditubuh oleh pemuda berusia 35 tahun ke bawah bagi membantu membina kerjaya mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment