My Add

Thursday 4 October 2012

Pendakwa cabar kebolehpercayaan keterangan Abdul Kadir esok

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012:: Pihak pendakwaan akan mencabar kebolehpercayaan keterangan bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Mahkamah Tinggi di sini esok dalam perbicaraan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik.

Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memaklumkan perkara berkenaan kepada hakim perbicaraan, Datuk Ahmadi Asnawi sebelum beliau menangguhkan prosiding hari ini untuk pemeriksaan balas bekas menteri itu. 

Prosiding hari ini juga menyaksikan Tun Majid dan peguam pembelaan, Wong Kian Keong beberapa kali bertikam-lidah apabila Abdul Kadir memberitahu berdasarkan minit mesyuarat Kabinet dan memorandum yang dirujuk kepadanya jelas menunjukkan selain keseluruhan kos pembelian tanah untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah RM1.08 bilion, ia turut melibatkan pembayaran faedah sebanyak 7.5 peratus.

"Walaupun saya tidak dapat ingat secara terperinci mengenai keputusan Kabinet mengenai projek ini pada 2002, tapi berdasarkan keterangan dokumen pembelian tanah 1,000 ekar yang dirujuk pada saya hari ini di mahkamah, ia jelas melibatkan pembayaran faedah," kata Abdul Kadir ketika menjawab soalan Tun Majid.

Beliau berkata percanggahan mengenai jumlah RM1.08 bilion berbanding dengan RM1.88 bilion, wujud kerana kecuaian mendraf di pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Sebelum itu, ketika pemeriksaan utama oleh Wong, bekas menteri itu memberitahu mahkamah bahawa bahawa segala keputusan kabinet dibuat secara konsensus dan kolektif, di mana semua menteri akan berbincang dan memberi pandangan.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Kabinet juga ada menimbang semula sesuatu keputusan yang dibuat dan pengubahsuian dilakukan sekiranya diperlukan.
Kepada soalan lain oleh Wong berhubung sejauh mana seseorang menteri bergantung kepada pegawai-pegawai kementerian dari segi fakta statistik, Abdul Kadir berkata adalah sukar untuk menteri mengingatkan semua perkara dan perlu kerjasama yang rapat dengan pegawai masing-masing.

"Selain statistik, pegawai juga bertanggungjawab menyediakan memorandum dan tugas menteri memastikan beliau menyemaknya," katanya yang juga saksi pembelaan ketiga.

Ketika ditanya mengenai perwatakan Ling di mana saksi dan tertuduh kenal satu sama lain lebih daripada 30 tahun, Abdul Kadir berkata, Ling adalah seorang yang rendah diri dan berintergriti.

"Walaupun menjadi pemimpin masyarakat Cina, namun demikian tindak-tanduk beliau adalah sebagai bangsa Malaysia," katanya.

Dr Ling, 69, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga menghadapi pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Ling, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment