My Add

Thursday 4 October 2012

Dakwaan kerajaan bayar pampasan rendah tak benar: Azalina

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said berkata kadar pampasan pengambilan tanah bagi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Petronas di kawasan parlimennya itu adalah dalam lingkungan RM2.80 hingga RM8 satu kaki persegi.

Beliau berkata bayaran itu mengambil kira hasil bumi atas tanah seperti projek perumahan atau perdagangan dengan ukuran berlainan.

Oleh itu, katanya dakwaan pembangkang kononnya kerajaan hanya membayar pampasan RM2.80 per kaki persegi kepada penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah ternyata tidak benar.

Setakat ini, beliau berkata kerajaan telah membayar RM204.86 juta kepada 434 pemilik tanah membabitkan 210 lot dalam fasa pertama pemindahan masyarakat setempat di samping pemilik tanah diberikan borang tawaran pampasan (Borang H) menerimanya tanpa syarat dan bersyarat.

"Kita tengok suara sengau parti pembangkang, kalau kerajaan Barisan Nasional (BN) buat semuanya tidak betul dan tidak baik.

"Kerajaan Persekutuan dan negeri bersama Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) meletakkan banyak pendekatan positif kepada masyarakat setempat dalam projek ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata langkah permulaan pelaksanaan Rapid iaitu penempatan semula penduduk di tiga perkampungan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Mac depan. 

Dalam pada itu, Azalina berkata negara khususnya negeri Johor, perlu mengambil kesempatan ekonomi yang dapat menjana kekayaan kepada penduduk Pengerang sekaligus mengelakkan penghijrahan golongan belia ke bandar besar untuk mencari peluang pekerjaan.

"Setiap tahun, dianggarkan 50,000 kapal dagang asing menggunakan perairan Pengerang yang menjadi laluan pilihan dalaman perjalanan mereka dari lautan Hindi ke Laut China Selatan, iaitu laluan memasuki Singapura," katanya.

Azalina juga berharap agar pembangunan Rapid akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya golongan belia.

Selain itu, beliau berkata nelayan di kawasan Pengerang perlu diberikan latihan kepakaran supaya mereka mahir dalam aktiviti penangkapan laut dalam.

Beliau juga berharap pihak bertanggungjawab memastikan kemasukan pekerja asing adalah terkawal untuk memastikan keselamatan masyarakat setempat sama ada dari segi kawalan jenayah dan kesihatan terjamin.

Persidangan dewan disambung Isnin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment