My Add

Monday 15 October 2012

Penduduk wilayah selatan dapat manfaat keamanan: Najib

 MANILA, ISNIN, 15 Oktober, 2012;: Datuk Seri Najib Razak berkata perjanjian rangka kerja antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro adalah peluang memastikan penduduk wilayah itu dapat menikmati manfaat keamanan yang memang mereka berhak.

Bercakap pada majlis menandatangani perjanjian bersejarah itu di Dewan Rizal
di Istana Malacanang di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata perjanjian itu adalah peluang untuk mengembalikan semula martabat penduduk wilayah selatan Filipina selepas dibelenggu pergolakan ganas lebih 40 tahun di wilayah itu.

Memberi jaminan kepada rakyat Filipina bahawa Malaysia akan berdiri bersama
mereka dalam memastikan rangka kerja perdamaian berjalan lancar, Najib semasa
ucapan 15 minit itu berkata Kuala Lumpur sedia membantu sebagai rakan kepada
perdamaian berkenaan.

"Adalah menjadi harapan besar saya bahawa perjanjian ini membawa kepada era
kesederhanaan baru yang mana amalan agama dan hak untuk hidup bersama tidak lagi menjadi isu konflik. Penduduk pelbagai agama dapat hidup bersama secara aman di bawah satu perlembagaan.

"Perjanjian yang kita saksikan pada hari ini menandakan permulaan era baru
di selatan Filipina. Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang menjayakan usaha ini dan saya tidak sabar-sabar untuk melihat perjanjian muktamad nanti," katanya yang menyaksikan majlis itu bersama Presiden Filipina Benigno Aquino III.

Perjanjian Rangka Kerja menjadi pelan damai bagi penubuhan wilayah autonomi
Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.

"Rangka kerja ini mengakhiri keganasan yang mengorbankan banyak nyawa dan memendekkan banyak peluang masa depan. Ia akan melindungi hak penduduk Bangsmoro dan memelihara kedaulatan dan integriti wilayah Filipina. Ia adalah tapak asas yang kukuh di mana keamanan berkekalan boleh dibina, "kata Najib dengan disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Majlis menandatangani itu pada 3 petang waktu tempatan itu didahului
dengan lagu kebangsaan Filipina diikuti bacaan doa mengikut cara Islam dan
Kristian.

Terdahulu, ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Istana
Malacanang disambut oleh Presiden Benigno.

Kemudian Najib diberi sambutan rasmi dengan penghormatan memeriksa barisan
kehormat Pengawal Presiden di perkarangan istana. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment