My Add

Monday 15 October 2012


Polis sambung reman lelaki larikan Porsche

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012:: Polis menyambung reman selama empat hari ke atas suspek yang dipercayai terlibat melarikan sebuah kereta mewah Porsche Panamera dari bilik pameran di Jalan Bukit Bintang di sini, tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata reman pertama terhadap lelaki berumur 31 tahun itu tamat hari ini.
Beliau berkata, Porsche yang bernilai hampir sejuta ringgit itu dipercayai telah diserahkan kepada pihak kedua.

"Kita sedang menyiasat kemungkinan kejadian itu melibatkan sindiket," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Dalam kejadian pada kira-kira 9 pagi itu, seorang lelaki berpakaian kemas dan bertopi telah memasuki bilik pameran tersebut dengan berpura-pura untuk berjumpa seorang kakitangan di syarikat itu.

Dia seterusnya naik ke tingkat satu dan menggeledah meja sebelum menemui sampul surat yang mengandungi kunci kereta berkenaan.

Lelaki berkenaan kemudiannya turun dan keluar dari ruang pameran sambil menekan kunci bagi mengesan lokasi kereta dan setelah menjumpainya dia terus menaiki dan memecut kereta yang belum didaftarkan itu ke arah Bukit Bintang.
Ekoran kejadian itu, polis menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang, Selangor, kira-kira 3 pagi keesokan harinya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment