My Add

Thursday 11 October 2012

Penebang pokok mati dihempap pokok rambutan

PASIR PUTEH, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Seorang penebang pokok maut akibat dihempap pokok rambutan yang ditebangnya di Selising di sini, hari ini.

Mohd Fadhil Mohamad, 40, dijumpai mati kira-kira jam 2 pagi tadi dengan pokok itu menghempap dadanya. 

"Mangsa dipercayai keluar seorang diri dari rumah untuk menebang pokok itu yang terletak di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, jam 4 petang semalam," kata Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Joharuddin Hashim.

Mangsa memang terkenal dengan kerja menebang dan memanjat pokok di kampungnya.

"Mungkin mangsa tidak menyangka pokok itu tumbang dengan cepat akibat ditiup angin kencang yang menyebabkan dia tidak sempat mengelak lalu dihempap pokok tersebut.

"Tempat kejadian itu agak tersorok sedikit daripada rumah kediaman yang menyebabkan tiada penduduk yang menyedari kejadian itu sehingga ke awal pagi," kata Joharuddin.

Beliau berkata, enam anggota bomba yang diketuainya mengambil masa lebih setengah jam untuk memotong pokok yang menghempap mangsa dan mengeluarkannya. 

Mayat Mohd Fadhil dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Abang iparnya, Yaakob Kadir, 53, berkata selepas menyedari adik iparnya itu tidak pulang ke rumah menjelang malam, dia mencarinya di sekeliling kampung.

Katanya, pada tengah malam, dia menjumpai kereta Proton Saga Mohd Fadhil tidak jauh dari tempat kejadian dan kemudian mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat dihempap pokok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment