My Add

Wednesday 17 October 2012

Penggiat sastera harus manfaatkan teknologi maklumat

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Oktober, 2012: Penggiat sastera harus memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat untuk memperkembangkan hasil kesusasteraan mereka dalam medium yang lebih luas seperti internet.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abas berkata, penggiat sastera boleh menggunakan platform itu dalam mengkomposisikan hasil seni dan mengintergrasikannya dalam pelbagai bentuk dengan lebih cekap dan pantas. 

Menerusi medium baru itu, karya sastera boleh dipersembahkan menerusi web tv yang berkeupayaan menarik minat lebih ramai penggiat sastera ke alam maya, katanya dalam kertas kerja bertajuk "Menghasilkan dan Menyebarluaskan Karya Sastera Dalam Medium Internet" pada Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT)di sini, hari ini.

Wan Abu Bakar berkata, karya siber perlu bersifat interaktif iaitu mampu bertindak balas misalnya karya e-novel memberi kepuasan yang unik apabila khalayak dapat menyumbangkan input sendiri untuk menentukan arah jalan cerita.

Sementara itu, pembentang kertas kerja dari Singapura, Dr Azhar Ibrahim Alwee berpendapat masyarakat dunia kini terlalu ghairah dengan wadah teknologi seperti media digital yang menawarkan lambakan informasi dan hiburan secara pantas dan lebih bersifat ringan.

Beliau yang juga Felo Pelawat Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura berkata, situasi itu menyebabkan kebanyakan karya asal sastera disalah tafsir ketika proses mengadaptasi hasil seni itu menjadi isi kandungan media digital misalnya filem dan alam siber.

"Kemasukan bahan sastera dalam dunia digital digerakkan bukan kerana orang-orang digital sayangkan sastera tetapi atas perkiraan logika pasaran dan permintaan. Itulah realiti sebenarnya yang harus kita buat penelitian," katanya dalam kertas kerja bertajuk "Sastera Di Zaman Digital: Pengampuhan dan/atau Peminggiran Sastera". 

Sehubungan itu, Azhar mencadangkan supaya kajian perfileman dan sastera perlu dilakukan secara bersama untuk memastikan kedua-dua bidang itu mampu bergerak seiring bagi mencapai objektif secara tepat.

Beliau berkata, sastera adalah sebahagian landasan identiti kebudayaan yang wajar dipertahankan kerana ia mampu menjadi tradisi intelektual dan estetika yang dapat memberikan makna kepada kehidupan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment