My Add

Saturday 27 October 2012

Peniaga bantah gadai aset PKNS

*KOMPLEKS PKNS Bangi antara aset yang bakal dijual oleh kerajaan PKR Selangor.

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 26 Oktober, 2012: Rata-rata peniaga di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Bangi dekat sini, membantah tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berhasrat menggadai aset anak syarikat kerajaan negeri itu kerana boleh memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka.

Seorang peniaga, Norsyakirah Sahrani, 22, berkata, tindakan kerajaan negeri itu dilihat hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kebajikan peniaga yang sudah bertahun-tahun lamanya mencari nafkah di premis tersebut.

"Bagaimana dengan nasib peniaga seperti kami? Di mana kami mahu mencari rezeki jika kawasan yang sejak sekian lama menjana pendapatan kepada kami terpaksa dilepaskan?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencabar Abdul Khalid memberi penjelasan berhubung dakwaan PKNS meluluskan penjualan lima aset milik mereka yang difahamkan proses penjualannya berada di peringkat akhir meskipun belum dimuktamadkan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Fatty Hanum Abdullah, 22, berkata, Abdul Khalid perlu memberi penjelasan munasabah kepada rakyat Selangor khususnya kumpulan peniaga berhubung hasrat menjual aset PKNS.

"Kami juga mahukan kepastian berhubung masa depan perniagaan kami selepas penjualan itu sama ada masih berpeluang berniaga atau tidak," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SMI) Malaysia, Teh Kee Sin berkata, pelbagai masalah akan wujud jika PKNS dijual kepada pihak lain.

Katanya, kerajaan tidak sepatutnya terburu-buru membuat keputusan itu sebaliknya menyelesaikan sebarang masalah berhubung aset tersebut dengan bantuan pakar.

"Selama ini, peniaga-peniaga di premis itu sudah memahami keperluan dan kehendak penduduk di kawasan tersebut dan peralihan pengurusan akan mengurangkan keyakinan penduduk yang sudah selesa dengan cara sekarang.

"Tidak mustahil juga pentadbiran baru nanti akan menaikkan harga sewa atau mungkin akan wujud kumpulan yang memonopoli perniagaan di premis tersebut," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu lebih matang serta bertimbang rasa dalam mencari penyelesaian dengan memandang secara menyeluruh terutama berhubung nasib dan masa depan golongan peniaga. - UTUSAN

 

No comments:

Post a Comment