My Add

Saturday 27 October 2012

Penjualan Aset PKNS: Ekuiti Melayu dibimbangi tergadai

SHAH ALAM, JUMAAT, 26 Oktober, 2012: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus didesak supaya tidak menjual aset Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sewenang-wenangnya.

Beliau juga didesak supaya mempertahankan aset PKNS memandangkan ia merupakan sebahagian daripada ekuiti Melayu di negeri ini.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi (gambar) berkata, matlamat utama penubuhan PKNS adalah untuk mengimbangkan geopolitik orang Melayu yang jauh ketinggalan berbanding bangsa lain di negeri ini.

Beliau berkata, sekiranya benar aset PKNS dijual, dibimbangi ekuiti Melayu di kawasan bandar juga akan tergadai dan ia sekali gus menggagalkan matlamat asal penubuhannya.

"Kita juga bimbang sekiranya benar dakwaan berlakunya penjualan aset PKNS itu, ia berlaku bukan atas tujuan korporat sebaliknya dikhuatiri ia bermotifkan politik semata-mata.

"Sebab itulah, Abdul Khalid perlu tampil memberi respons terhadap dakwaan itu kerana rakyat di negeri ini khususnya orang Melayu ingin tahu kebenaran di sebalik dakwaan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar semalam yang mencabar Abdul Khalid tampil memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan PKNS meluluskan penjualan lima aset milik anak syarikat kerajaan negeri itu berjumlah RM321 juta.

Lima aset tersebut ialah Menara PKNS Petaling Jaya dengan harga RM90 juta; Pusat Konvensyen Shah Alam (RM97 juta); Kompleks PKNS Shah Alam (RM85 juta); Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).

Menurut Noh, difahamkan proses penjualan belum dimuktamadkan kerana surat perjanjian penjualan itu masih belum ditandatangani tetapi berada pada peringkat akhir kerana secara asasnya Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjualnya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Majlis Belia Selangor, Nor Akmal Ibos berkata, sekiranya benar dakwaan itu, ia adalah sebahagian daripada bukti yang menunjukkan kegagalan Abdul Khalid mentadbir negeri ini.

Sebelum ini, katanya, telah banyak bukti yang menunjukkan kegagalan Abdul Khalid mentadbir kerajaan negeri termasuk skandal Talam Corporation Bhd. (Talam) yang didakwa membabitkan penyalahgunaan wang rakyat.

"Apa yang kita dengar daripada rakan-rakan Abdul Khalid di dalam pakatan pembangkang, semuanya mendakwa yang beliau cemerlang dalam mentadbir negeri tetapi realiti sebenar yang berlaku adalah sebaliknya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment