My Add

Friday 12 October 2012

Penjara seluruh negara diiktiraf Pusat Latihan SLDN: Maznah

KUANTAN, JUMAAT, 12 Oktober, 2012: Kesemua 30 penjara di seluruh negara diiktiraf sebagai Pusat Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), iaitu program latihan kemahiran yang komprehensif kepada penghuni penjara mengikut keperluan industri pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, dengan pentauliahan terbabit lebih ramai penghuni penjara dapat dilatih dengan pelbagai kemahiran sebagai persiapan untuk mendapatkan pekerjaan setelah dibebaskan kelak. 

"Setiap penghuni penjara di negara ini yang mengikuti sebarang kursus di bawah program SDLN akan diberi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu selepas menjalani tempoh latihan enam bulan.

"Ini adalah sebahagian usaha Kementerian Sumber Manusia dalam mengupayakan banduan dengan kemahiran agar apabila mereka keluar kelak dapat berdikari," katanya kepada pemberita selepas pelancaran SDLN di Penjara Penor, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar.

Maznah berkata, sejak program terbabit dimulakan pada 2009, seramai 6,376 banduan berjaya memperoleh sijil SKM dalam pelbagai bidang kemahiran.

Jelas beliau program yang mempunyai 40 bidang kemahiran yang menepati Piawaian Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan itu boleh diikuti oleh penghuni penjara kecuali banduan yang menjalani hukuman mati mandatori. 

Sementara itu, Lee berkata, program terbabit adalah usaha sama Strategi Lautan Biru Kebangsaan, iaitu pendekatan transformasi institusi penjara kepada pusat latihan kemahiran untuk para penghuninya.

"Ini sekali gus dapat meningkatkan keupayaan banduan agar mereka lebih berilmu dan berkemahiran, memudahkan kembali ke alam pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment