My Add

Friday 5 October 2012

Penyelia, pengawal keselamatan dituduh rompak RM1.23 juta

TAIPING, JUMAAT, 05 Oktober, 2012: Seorang penyelia syarikat swasta dan seorang pekerja syarikat keselamatan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan merompak RM1.23 juta dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu van pada 18 September lalu.

Cheah Cheong Tatt, 23, dan Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, didakwa dengan niat bersama merompak RM1,235,715 milik Safeguards G4S Sdn Bhd dan melepaskan tembakan dari senjata api dalam kejadian rompakan itu di hadapan pasaraya Giant, Jalan Tekah, Aulong di sini antara 2.20 petang dan 3.25 petang, 18 September lalu. 

Mereka dituduh melepaskan tembakan itu dengan niat hendak menyebabkan kematian kepada Hasnul Hafis Saad, 28, yang juga pemandu van syarikat keselamatan itu yang membawa wang tunai berkenaan.

Cheah dan Mohd Hafizuddin didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes itu bagi pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan dokumen berkaitan.

Cheah dari Kulim, Kedah diwakili peguam C P Ang manakala Mohd Hafizuddin dari Sungai Siput, Perak tidak diwakili peguam bela.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment