My Add

Tuesday 16 October 2012

\Produktiviti negara mesti meningkat empat peratus setahun

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Kadar produktiviti mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya empat peratus setiap tahun bagi memastikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dapat dicapai.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kadar produktiviti negara mencatatkan peningkatan memberangsangkan sejak 1996.

"Produktiviti Malaysia berdasarkan kiraan keluaran dalam negara kasar bagi setiap pekerja tahun lalu meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada RM54,000 setiap pekerja," katanya.

Beliau berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Kumpulan Kawalan Kualiti Antarabangsa (ICQCC) 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Perasmian ICQCC 2012 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain.

Konvensyen itu disertai sebanyak 1,300 orang mewakili 13 negara dan merupakan salah satu program yang dianjurkan di bawah Ekspo dan Persidangan Produktiviti dan Inovasi Tahunan (APIC) 2012 yang bermula hari ini hingga 17 Oktober ini.

Sementara itu, Azman dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian tersebut berkata, empat program lain di bawah APIC 2012 adalah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kebangsaan (NICC), Konvensyen Persekitaran Berkualiti (QE/5S) Kebangsaan, Persidangan Produktiviti dan CEO Masterclass.

"Peneraju industri dan pakar produktiviti akan berkongsi pengalaman mereka berkenaan usaha meningkatkan produktiviti di tempat kerja pada Persidangan Produktiviti dan CEO Masterclass," ujarnya.

Jelas beliau, penceramah-penceramah pada dua program berkenaan ialah bekas Pengarah Urusan Porsche dan BMW, Kevin Gaskell; Pengarah Urusan Quintessential Quality Consultancy, Yet Sin Kiat dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Sdn. Bhd., Siti Sa'adiah Sheik Bakir. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment