My Add

Thursday 18 October 2012

Prosedur pinjaman untuk penilaian lebih adil: Awang Adek

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Oktober, 2012: Prosedur pinjaman yang dilaksanakan di institusi kewangan bertujuan membuat penilaian secara adil dan bukan menyulitkan urusan pembiayaan kepada usahawan tempatan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata prosedur itu mengambil kira amalan pengurusan kredit untuk memastikan sama ada pemohon layak mendapat pembiayaan berdasarkan daya maju projek serta memastikan peminjam mampu membayar balik pinjaman.

"Prosedur yang digunakan ini jelas tertera dalam piagam pelanggan institusi kewangan di mana terdapat senarai semakan dokumen yang diperlukan bagi setiap permohonan termasuklah tempoh yang diambil untuk memproses permohonan.

"Justeru pemohon diminta memastikan segala dokumen teras ini adalah lengkap agar proses penilaian dapat dijalankan dengan lancar," katanya menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) di Dewan Rakyat di sini.

Bung Moktar ingin tahu prosedur pinjaman institusi kewangan seperti SME Bank, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Bank Pembangunan yang dilihat menyulitkan bantuan kewangan kepada usahawan tempatan.

Mengambil contoh MTDC, Awang Adek berkata proses pembiayaan dana institusi itu lebih ringkas bagi membantu pelanggan selain mengenakan prasyarat yang lebih fleksibel berbanding bank komersial.

Menjawab soalan tambahan anggota Parlimen sama mengenai langkah kerajaan memastikan usahawan tempatan tidak teraniaya dengan prosedur pinjaman institusi kewangan, Awang Adek berkata aduan perlu dibuat agar tindakan sewajarnya boleh diambil. 

"Jangan biar perlakuan ini berterusan. Kalau ada layanan tak baik, rasuah, harap dapat dipanjangkan supaya tindakan atau siasatan boleh diambil. Kalau tidak ada aduan, mungkin akan berterusan.

"Tetapi, pada dasarnya, jelas sesiapa yang layak dapat kemudahan kewangan perlu diberi kemudahan bagi membantu golongan tersebut," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) sama ada kerajaan bercadang mengadakan pendekatan berbeza untuk memudahkan proses mendapatkan pinjaman bagi usahawan di Sabah dan Sarawak, Awang Adek berkata kerajaan akan membawa perkara itu kepada pihak berkaitan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment