My Add

Thursday 25 October 2012

Pulangkan kembali tanah kami’

SHAH ALAM, RABU, 24 Oktober, 2012: Sebanyak 40 warga emas berhimpun secara aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan menyerahkan memorandum menuntut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memulangkan kembali tanah mereka yang dakwa mereka dirampas Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Kumpulan warga emas itu merupakan sebahagian daripada 362 generasi terawal peneroka Felda Sungai Buaya, Rawang dekat sini yang kebanyakannya telah tinggal di kawasan berkenaan selama lebih 40 tahun.

Wakil kumpulan itu, Abu Hassan Mohd. Sidek, 70, mendakwa, kerajaan PKR Selangor merampas tanah mereka tanpa sebarang notis dan hanya memberi alasan tanah itu diambil kerana terdapat tunggakan cukai yang tidak dibayar.

Dia berkata, meskipun mengakui terdapat tunggakan dalam pembayaran cukai tanah, pihaknya telah beberapa kali meminta kerajaan PKR Selangor untuk berunding.

“Selepas diberitahu yang tanah kami telah dirampas, kami telah menghantar surat kepada kerajaan negeri termasuk kepada Pejabat Menteri Besar untuk berunding dan memohon jasa baik mereka bagi menyelesaikan masalah ini dengan baik.

“Usaha itu gagal kerana sehingga hari ini kami langsung tidak menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana pihak yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan itu.

Selepas sejam mengadakan demonstrasi aman itu, seorang pegawai yang mewakili kerajaan negeri, Noryzal Zainal Abidin tampil menerima memorandum daripada peneroka tersebut.

Tanah berkenaan sebelum ini merupakan tanah pertanian tetapi pada tahun 1995 status tanah itu ditukar kepada tanah pembangunan hasil persetujuan semua penduduk.

Difahamkan, tanah tersebut mula diambil kerajaan PKR Selangor pada Januari 2010 tetapi penduduk hanya diberitahu mengenai perkara itu pada Mac 2011 oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang ketika itu mahu membantu untuk menjelaskan kesemua tunggakan cukai tanah berkenaan.

Abu Hassan berkata, pihaknya memberi tempoh selama 14 hari kepada Abdul Khalid untuk bertindak terhadap memorandum itu dan sekiranya gagal, satu demonstrasi dengan penyertaan lebih ramai penduduk akan dianjurkan.

“Agak menyedihkan apabila kerajaan PKR Selangor yang selama ini melaung-laungkan slogan negeri berkebajikan sebaliknya merampas tanah rakyat dan suasana ini selalunya hanya berlaku di Palestin yang tanah rakyatnya dirampas setiap hari," tegasnya.

Seorang peneroka generasi pertama, Makkazen Marzuki, 71, pula berkata, dia hairan mengapa kerajaan PKR Selangor beria-ia mahu merampas tanah rakyat miskin seperti mereka sedangkan kerajaan sebelum ini langsung tidak pernah bertindak sedemikian.

Katanya, sekiranya masih tidak ada sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri selepas beberapa siri demonstrasi diadakan, penduduk juga sepakat untuk memanjangkan masalah tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami hanya mahu tanah kami dipulangkan kerana telah tinggal di atas tersebut sejak sekian lama dan kami juga sanggup berunding dengan kerajaan negeri mengenai cara pembayaran tunggakan cukai tanah itu," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment