My Add

Monday 15 October 2012

"Saya bukan beban pada BN, UMNO, kerajaan", kata Shahrizat Jalil

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan beliau menjadi bebanan kepada Barisan Nasional, Umno dan kerajaan berikutan skandal projek Pusat Fidlot Nasional (NFC). 

Shahrizat, yang memberi keterangan pada prosiding kes saman fitnah beliau terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan
pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli di Mahkamah Tinggi di sini, berkata peletakan jawatannya pada April lepas juga bukanlah kerana menjadi bebanan parti yang diwakili.

Ketua Wanita UMNO itu berkata tindakan meletak jawatan adalah satu pengorbanan untuk keluarga akibat fitnah berkenaan.

"Saya meletak jawatan untuk membersihkan nama saya dan keluarga, serta berkorban demi parti," katanya ketika disoal balas peguam Ranjit Singh, yang
mewakili Mohd Rafizi.

Shahrizat turut memberitahu mahkamah Zuraida dan Mohd Rafizi telah menzalimi
serta memfitnahnya dengan mengeluarkan kenyataan seperti didakwa.

Beliau juga menyalahkan mereka berikutan tersiarnya berita (di beberapa laman portal) berhubung saranan beberapa bekas pemimpin tertinggi UMNO seperti
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Rafidah Aziz, yang memintanya meletak jawatan.

Ditanya Ranjit rasional tindakan meletak jawatan sedangkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati beliau bebas daripada projek NFC, Shahrizat berkata, "Ia kerana kata-kata fitnah daripada kedua-dua defendan
terhadap saya dan keluarga. Saya mempunyai suami dan tiga orang anak, dan mahu bersama mereka."

Shahrizat menyifatkan serangan itu bagaikan dirancang dan amat kejam kerana
ia mempersoal tanggungjawab beliau sebagai seorang isteri, ibu, wanita dan
pemimpin.

Pada 19 Januari lalu, beliau memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd
Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnahnya dalam isu NFC.

Beliau menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti
rugi teladan dan teruk, selain injunksi bagi menghalang defendan terus
mengeluarkan kenyataan, sama ada secara lisan atau penerbitan, terhadapnya
berhubung NFC atau syarikat bersekutu.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung 18 Mac tahun depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment