My Add

Thursday 18 October 2012

Selamatkan rumah warisan Jawi Peranakan

 *WARISAN terakhir Jawi Peranakan bakal musnah jika MPPP
menjual tapak bangunan warisan ini.
*WAZIR (tiga, kanan) bersama aktivis warisan berbincang
dengan wakil MPPP.
 MOHD ISKANDAR OTHMAN
GEORGETOWN, RABU, 17 Oktober, 2012: Kerajaan Negeri digesa bertindak untuk melindungi rumah warisan terakhir Jawi Peranakan di Jalan Hutton di sini daripada dijual kepada syarikat swasta.

Presiden Persatuan Jawi Peranakan Pulau Pinang, Datuk Dr Wazir Jahan Karim berkata, rumah warisan yang terletak di dalam zon tapak warisan dunia itu perlu dikekalkan kerana ia adalah identiti warisan masyarakat Pulau Pinang yang wujud sekitar tahun 1700 lagi.

Menurutnya, rumah warisan yang terletak di atas tanah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu didakwa sudah ditender oleh sebuah syarikat bukan Bumiputera dan mungkin dijual tidak lama lagi.

Beliau bimbang rumah warisan itu akan dirobohkan dan dimajukan dengan pembangunan yang boleh mencemarkan identiti Muslim.

“Rumah itu adalah identiti Jawi Peranakan di negeri ini jadi ia tidak seharusnya dijual kepada mana-mana pihak tambahan pula kepada syarikat bukan Bumiputera.

“Kita mahu Kerajaan Negeri mengekalkan rumah berkenaan dan menjadikannya sebagai muzium warisan Jawi Peranakan,” katanya kepada media selepas bertemu Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow di sini semalam.

Turut hadir ialah beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Liga Muslim Pulau Pinang dan Persatuan Titian Kasih.

Dr Wazir berkata, selain menjadi tarikan pelancongan, muzium itu dapat membuktikan kewujudan masyarakat Jawi Peranakan di negeri ini untuk pengetahuan generasi akan datang.

Menurutnya, sebagai aset MPPP, pihak berkuasa tempatan itu wajar menjadikan bangunan warisan itu sebagai harta awam dan ia tidak boleh dijual dengan sewenang-wenangnya.

"Kami merayu kepada MPPP supaya tidak meneruskan prosedur penjualan bangunan warisan itu. Kerajaan Negeri pula mungkin boleh mencari alternatif untuk memberi bangunan lain kepada pemaju yang mendapat tender itu," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow ketika ditemui media berkata, Kerajaan Negeri akan meminta MPPP mengkaji semula keputusan penjualan tanah berkenaan dan implikasi yang akan dihadapi jika diteruskan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengambil berat pandangan Persatuan Jawi Peranakan Pulau Pinang dan beberapa aktivis warisan dan akan sedaya upaya menyelamatkan warisan di negeri ini. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment