My Add

Tuesday 2 October 2012



'Senarai 20 pemimpin PKR Kabinet pusat tidak ada'

Azmin Ali
KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Oktober, 2012: PKR hari ini menafikan sudah memuktamadkan senarai 20 pemimpinnya akan diangkat mengisi Kabinet pusat sekiranya berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali berkata, laporan penyenaraian calon, yang dibuat oleh seorang pemimpin PKR sebelum ini, bukan rasmi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, senarai 20 yang disebut-sebutkan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat (PR).

"Kenyataan beliau (Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei) tidak rasmi, kita tak pernah bincang mengenai senarai calon untuk Kabinet bayangan.

"Itu hanya pendapat peribadi beliau dan senarai pilihan peribadi beliau," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, di sini, lapor Sinar Harian

Kelmarin, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, kepimpinan baru negara itu semakin menampakkan bayangan dengan sebahagian kecil pimpinan kanan mungkin diangkat sebagai menteri dan timbalan menteri mengikut tradisi yang wujud di dalam hierarki kepimpinan politik tanah air.

"Secara tradisi pimpinan kanan iaitu peringkat presiden sehingga pengurusan parti merangkumi timbalan, lima naib presiden, setiausaha, bendahari, ketua penerangan, pengarah pilihan raya, pengarah strategik, pengarah komunikasi, ahli majlis pimpinan.

"Sebahagiannya sudah tentu berada dalam senarai mereka yang biasanya akan berada dalam jemaah menteri," katanya berkongsi pandangan ketika ditanya inti pati ucapan penutup Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw menyatakan PKR berkhayal apabila mewujudkan 'Kabinet bayangan' kerana Parlimen belum dibubarkan tetapi sudah mempunyai jawatan tertentu dalam kementerian.

"PKR mesti menang dulu kerusi dalam kawasan, barulah boleh menentukan siapa yang akan menyandang jawatan kementerian. Tetapi pilihan raya belum berlangsung sudah memilih calon bagi jawatan tertentu adalah khayalan semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua pula menyifatkan Seng Giaw tidak mengetahui maksud sebenar Kabinet bayangan itu.

"Saya pasti dia tidak tahu tentang penyenaraian tersebut. Dan dia hanya salah faham sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketu Biro Antarabangsa PKR, Yusmadi Yusoff turut menyatakan PKR tidak pernah membincangkan senarai untuk Kabinet bayangan di dalam mesyuarat PR.

Tambahnya, PR tidak perlu mempunyai Kabinet bayangan untuk menawan Putrajaya pada PRU13.

"Kita akan ikut dasar kita, kenyataan Shuhaimi itu tidak rasmi dan kita tak perlu Kabinet bayangan untuk tawan Putrajaya," katanya.

Selain itu, Yusmiza turut menyatakan kenyataan yang berbaur cabaran yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terhadap PR supaya menubuhkan Kabinet bayangan itu sebagai isu lapok dan mempunyai unsur sabotaj.

No comments:

Post a Comment