My Add

Wednesday 3 October 2012

Taman industri ringan di PIPC

JOHOR BAHRU, SELASA, 02 Oktober, 2012: Johor Petroleum Development Corporation Bhd. (JPDC) menerima banyak pertanyaan dari industri sokongan minyak dan gas yang menunjukkan minat untuk beroperasi di Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).

Ketua Eksekutifnya, Mohd Yazid Jaafar berkata, kehadiran industri sokongan minyak dan gas itu penting di dalam memastikan kelancaran operasi pelbagai kemudahan industri di PIPC kelak.

"Kita menerima banyak pertanyaan (dari industri sokongan yang berminat). Ramai meminta maklumat. Kita memang mempunyai perancangan untuk mewujudkan taman industri ringan untuk industri seperti lojistik, penyelenggaran dan perkhidmatan fabrikasi.

"Selain itu, perkhidmatan kewangan, perundangan dan insurans berkaitan minyak dan gas juga menunjukkan minat untuk beroperasi. Keseluruhan ekosistem mesti bersedia, itulah cabaran kami," katanya.

Beliau berkata demikian di dalam temuramah di sini, baru-baru ini.

JPDC merupakan sebuah agensi persekutuan bagi menyelaras pembangunan sektor minyak dan gas di Johor terutamanya yang berkait dengan industri penyimpanan minyak, petrokimia dan industri hiliran lain.

Ia dipengerusikan bersama oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurut Mohd Yazid, pihaknya berusaha menarik industri sokongan itu kerana menyedari ia menyediakan banyak peluang ekonomi kepada warga tempatan.

Sehubungan itu, katanya, JPDC akan meningkatkan usaha menarik lebih banyak industri sokongan itu ke Johor, selain turut bekerja sama dengan agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA).

Sementara itu, katanya, JPDC juga mempunyai rancangan jangka panjang untuk menarik minat syarikat-syarikat Pangkalan Bekalan Luar Pesisir sama ada dari dalam dan luar negara untuk beroperasi di Johor.

Mohd Yazid berkata, pihaknya 'melihat dengan penuh minat' tindakan pihak berkuasa Singapura yang mahu terbabit memindahkan operasi mereka dari Loyang ke Jurong.

Syarikat terbabit katanya, berkemungkinan berminat untuk memindahkan operasi mereka, sebagai contohnya, ke kawasan industri Tanjung Langsat yang terletak berhampiran.

Projek PIPC itu dijalankan di atas tanah seluas 8,000 hektar itu, dengan kira-kira 2,500 hektar akan dibangunkan oleh syarikat minyak nasional, Petronas untuk projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Petronas dilaporkan akan melabur kira-kira RM60 bilion di dalam Rapid.

Selain itu, syarikat tempatan, Dialog Bhd. dengan kerjasama Royal Vopak dan kerajaan negeri Johor juga terlibat di dalam pembangunan Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas di PIPC itu.

Dialog dan rakan kongsinya baru-baru ini turut mengumumkan pelaburan berjumlah RM4 bilion untuk membina kemudahan Terminal Gas Asli Cecair (LNG) di PIPC. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment