My Add

Thursday 11 October 2012

Tambang haji Malaysia termurah

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Malaysia menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan negara yang menawarkan pakej ibadah haji termurah iaitu pada kadar RM9,980 seorang, berbanding kos lebih mahal dikenakan di negara-negara jiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, TH telah menyalurkan subsidi sebanyak RM125 juta tahun ini berbanding RM100 juta tahun lalu bagi mengekalkan harga berpatutan bagi ibadah tersebut.

"Lembaga Tabung Haji telah mengekalkan kos bayaran haji untuk Jemaah Muasassah (kali pertama) pada RM9,980 seorang walaupun tempoh berada di tanah suci lebih daripada 40 hari.

"Jika dibuat perbandingan daripada maklumat negara jiran, Brunei mengenakan bayaran haji RM18,000, Singapura RM18,000, Indonesia antara RM15,000 hingga RM18,000 manakala Thailand antara RM16,000 hingga RM18,000," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ismail bertanyakan perbandingan harga pakej ibadah haji yang ditawarkan Malaysia berbanding dengan negara-negara jiran lain serta subsidi yang disalurkan oleh TH.

Menurut Jamil, walaupun kos sebenar haji telah meningkat kepada RM15,150 seorang berikutan faktor tertentu seperti pengangkutan dan penginapan, TH telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) untuk menyerap kos tersebut menerusi hasil keuntungan pelaburan dan perniagaan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) berkenaan gaji tinggi yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif TH, Jamil Khir berkata, gaji sebanyak RM85,000 sebulan itu mengambil kira harga pasaran semasa dan kedudukannya sebagai pengerusi dalam kumpulan syarikat-syarikat besar di bawah TH.

Beliau memberitahu, Lembaga Tabung Haji yang merupakan antara institusi kewangan terunggul di dunia dengan menguruskan dana sebanyak RM34 bilion merangkumi 7.8 juta orang pendeposit dan hampir sejuta penyimpan.

"Saya suka maklumkan bukan sahaja negara-negara Islam, bahkan baru-baru ini kita mendapat permohonan dari persatuan Kristian yang ingin melihat contoh Tabung Haji diwujudkan sehingga mampu menguruskan jemaah dan memberi subsidi," katanya.

Menjawab soalan lain, Jamil Khir memberitahu, TH telah pun memulakan projek bagi membina sebuah kompleks jemaah haji baharu bertaraf hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bagi menggantikan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

Sementara itu, berhubung soalan tambahan daripada Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis), Jamil Khir berkata, TH menyediakan khidmat kaunselor serta kumpulan Sahabat Haji bagi membantu jemaah haji Malaysia yang mempunyai masalah peribadi ketika berada di tanah suci. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment