My Add

Thursday 11 October 2012

Ciri keselamatan baharu pantau mesin ATM

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Kerajaan telah memperkenalkan ciri-ciri keselamatan baharu dalam mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh negara bagi membanteras kes rompakan ke atas mesin pengeluaran wang itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ciri-ciri itu berdasarkan garis panduan keselamatan mesin ATM yang dikeluarkan pada 2000 dan aktiviti kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

“Usaha itu dilaksanakan berikutan statistik menunjukkan sebanyak lima rompakan ATM direkodkan pada 2011 manakala dari 1 Januari hingga September lalu sebanyak 17 kes direkodkan.

“Bagaimanapun jumlah kejadian rompakan itu masih di tahap yang terkawal memandangkan kerajaan berjaya mengawal sejumlah 11,320 mesin ATM di seluruh negara," katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang meminta kerajaan melaksanakan ciri-ciri keselamatan baharu ke atas mesin ATM berikutan kejadian rompakan mesin tersebut yang kerap berlaku.

Menurut Awang Adek, langkah-langkah tersebut termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau laluan dan kawasan persekitaran ATM serta penggunaan penggera berkuasa bateri bagi memastikan sistem penggera dan CCTV terus beroperasi walaupun tanpa bekalan elektrik.

Turut diberi perhatian, katanya, ialah pemasangan penggera bagi menggantikan lampu keselamatan ATM dalam pasar raya dan pemasangan penggera api berdekatan ATM untuk mengesan rompakan ATM yang dibuat menggunakan alat pemotongan besi (oxy cutter) menerusi gas Oxy-Acetylene bagi menebuk pintu mesin.

Beliau memberitahu, kekebalan sesebuah ATM juga bergantung kepada struktur binaan lokasi mesin wang itu kerana ATM yang dipasang di cawangan bank secara umumnya lebih kebal dan selamat berbanding ATM di tempat awam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment