My Add

Sunday 21 October 2012

Tindakan jika jual antibiotik tanpa preskripsi doktor

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Oktober, 2012: Kementerian Kesihatan akan mengenakan tindakan tatatertib ke atas klinik atau farmasi yang didapati menjual antibiotik sewenang-wenangnya kepada orang ramai tanpa preskripsi doktor.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihak kementerian sudah mengeluarkan arahan kepada semua doktor sebelum ini agar menggunakan antibiotik secara berhemah dan berhati-hati.

"Pengeluaran antibiotik hanya pada penyakit-penyakit tertentu sahaja, doktor atau pihak klinik serta farmasi telah diarahkan tidak boleh mengeluarkan preskripsi dengan sewenang-wenangnya.

"Ini bagi mengelakkan bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik serta berbahaya jika diambil oleh pesakit tanpa nasihat daripada doktor," katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung MCA ke-59 di sini, hari ini.

Liow mengulas laporan muka depan sebuah akhbar yang menyatakan terdapat farmasi di negara ini yang menjual antibiotik kepada orang ramai tanpa mendapatkan preskripsi doktor.

Laporan itu juga menyatakan golongan yang tidak bertanggungjawab itu menjual antibiotik yang dikawal tanpa menerangkan dos penggunaannya kepada pembeli, sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan antibiotik. - BERNAMA
 

No comments:

Post a Comment