My Add

Friday 5 October 2012

TPM: Projek UiTM di Serendah perlu ke Kabinet

SHAH ALAM, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memberikan sokongan penuh untuk meneruskan cadangan pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah yang sebelum ini dirampas kerajaan Selangor.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, perkara itu perlu dibawa semula ke Kabinet bagi diputuskan memandangkan pembinaan kampus tersebut telah dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini.

‘‘Kalau Datuk Seri Noh Omar (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) bangkitkan perkara tersebut dalam Kabinet, saya berikan sokongan penuh.

‘‘Apabila tapak itu sudah sedia, kita akan usahakan semula peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2013," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab program perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia dan mahasiswa Selangor di Pusat Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Selasa lalu, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menerima tamparan apabila Mahkamah Tinggi di sini membenarkan rayuan Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan Sdn. Bhd. (PYBK) membatalkan keputusan Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor merampas dan menolak bayaran cukai beberapa bidang tanah milik YBK.

Hakim Hadariah Syed Ismail membenarkan rayuan itu dengan kos RM20,000 selepas mendapati tindakan kerajaan negeri Selangor melucutkan hak ke atas empat blok tanah di Serendah, Rawang dan mengembalikan semula bayaran cukai kepada YBK adalah salah di sisi undang-undang dan terbatal. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment